Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tekad utama pentadbirannya ketika ini adalah usaha membantu meringankan beban rakyat.

Perdana Menteri menjelaskan perkara itu ketika mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di ibu pejabat pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di sini, hari ini.

"Mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi DBKL pagi tadi.

"Saya mendengar beberapa taklimat serta penerangan terkait pengurusan dan hal ehwal DBKL," katanya menerusi perkongsian di Facebook.

Mengenai pertemuan dengan semua Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sejurus taklimat terbabit, Anwar berkata, mereka membincangkan beberapa perkara dasar dan usaha bagi mendepani permasalahan miskin bandar.

DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam. FOTO ihsan Jabatan Perdana Menteri
DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam. FOTO ihsan Jabatan Perdana Menteri

Pertemuan dengan Ahli Parlimen terbabit antaranya dihadiri Menteri Komunikasi dan Digital yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil, Menteri Belia dan Sukan (Segambut), Hannah Yeoh serta Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).

Ahli Parlimen lain yang hadir ialah Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Titiwangsa), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Bandar Tun Razak), Tan Kok Wai (Cheras), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Teresa Kok (Seputeh) dan Lim Lip Eng (Kepong).

Perdana Menteri tiba di Menara 1 DBKL pada 9 pagi dan disambut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali serta Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Kehadiran beliau turut disambut kira-kira 100 warga DBKL.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November lalu dan memimpin Kerajaan Perpaduan menerusi kerjasama gabungan parti politik antaranya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (WARISAN).

Keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri turut dizahirkan selepas meraih undian suara majoriti dalam usul undi percaya di Dewan Rakyat Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 5:26 PM