Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyambut baik langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membentuk jawatankuasa khas bagi meneliti cadangan mewujudkan undang-undang mewajibkan pemasangan jeriji pada tingkap dan balkoni kediaman tinggi.

Shahidan berkata, beliau secara peribadi menyokong penuh langkah itu yang dianggap wajar demi menjaga keselamatan dan mengelak berlakunya insiden tidak diingini membabitkan penghuni kediaman dan bangunan.

"Ini (langkah pemasangan jeriji) tidak perlu kajian.

"Secara peribadi saya memang sokong kerana pernah ada kemalangan yang tak boleh lupa berlaku kepada keluarga saya (anak).

"Bagi saya, bangunan tinggi yang bertingkap kena buat jeriji. Dulu nak buat jeriji, pengurusan tak bagi," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan replika kunci kepada 38 keluarga miskin tegar yang menerima unit kediaman menerusi inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia di Pusat Komuniti Beringin, Taman Beringin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha (KSU) KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Hasan Ariffin dan Ketua Pegawai Runcit TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

DATUK Seri Dr Shahidan Kassim (tengah) diiringi Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Seri Hasan Arifin dan Datuk Seri Mahadi Che Ngah bergambar bersama penerima sumbangan di Pusat Komuniti Beringin, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Seri Dr Shahidan Kassim (tengah) diiringi Datuk Seri Rosida Jaafar, Datuk Seri Hasan Arifin dan Datuk Seri Mahadi Che Ngah bergambar bersama penerima sumbangan di Pusat Komuniti Beringin, Kuala Lumpur. FOTO Hairul Anuar Rahim

Inisiatif Baiti Jannati Keluarga Malaysia adalah kerjasama strategik antara Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan TNB.

Ia bertujuan membantu penyewa miskin tegar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) serta Perumahan Awam DBKL (PA DBKL) memiliki rumah sendiri yang kondusif tanpa perlu membayar sewa bulanan kepada DBKL.

Menerusi inisiatif itu, TNB memberikan peruntukan sebanyak RM1.5 juta wang zakat untuk dimanfaatkan kepada 30 keluarga Islam miskin tegar dan sumbangan YWP sebanyak RM400,000 kepada lapan penyewa miskin tegar bukan Islam di PPR dan PA DBKL untuk memiliki unit kediaman sendiri.

Unit rumah terbabit dibaik pulih dan dilengkapi dengan barangan elektrik asas mengikut keperluan semasa keluarga miskin tegar berkenaan.

Sementara itu, Mahadi berkata, beliau menyedari kepentingan pemasangan jeriji kerana terdapat banyak bangunan dan kediaman tinggi di Kuala Lumpur.

"Di Kuala Lumpur, tinggi bangunan dan kediaman bukan setakat 15 tingkat tetapi ada yang duduk sampai tingkat 60 seperti di 'roof top garden' (taman atas bumbung).

"Sudah tentu aspek keselamatan menjadi keutamaan DBKL kerana dalam mengurus bandar, kita mahu ia selamat untuk didiami. Oleh itu kita akan bekerjasama dengan KPKT dalam hal ini," katanya.

Terdahulu, Menteri KPKT, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam kenyataan semalam berkata jawatankuasa khas diketuai Timbalan Ketua Setiausaha (Perumahan dan Kesejahteraan Komuniti), Datuk Azhar Ahmad akan mengkaji cadangan mewujudkan undang-undang mewajibkan pemasangan jeriji pada tingkap dan balkoni kediaman tinggi dengan lebih mendalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 2:45 PM