WONG bersama anjing yang terselamat. FOTO Sudirman Mohd Tahir
WONG bersama anjing yang terselamat. FOTO Sudirman Mohd Tahir
Sudirman Mohd Tahir dan Noor Hidayah Tanzizi


Hulu Selangor: "Saya harap anggota penyelamat dapat mencari dan menyelamatkan Uncle Ng dan lima anjing kami," kata seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Wong, 50, mangsa yang terselamat dalam runtuhan tanah di tapak perkhemahan di Father's Organic Farm di sini, hari ini.

Wong berkata, dia bersama seorang rakan dan tiga anjing berada dalam satu khemah, sementara seorang lagi kenalan dikenali sebagai Uncle Ng, 60, berada di khemah sebelah juga bersama tiga anjing.

"Ketika kejadian, saya masih tidur sebelum kawan kejutkan dan beritahu terdengar bunyi kuat dari luar khemah. Kami keluar dan tengok ada tanah runtuh, tidak sampai dua, tiga saat saja khemah kami dah tertimbus. Memang tak sempat nak lari.

"Namun kami diselamatkan pengunjung lain tapi khemah Uncle Ng yang berada di sebelah tak sempat nak buat apa-apa. Ketika itu tanah sudah timbus habis.

"Saya bersama kawan dan seekor anjing saja dapat diselamatkan, yang lain tak sempat," katanya.

Menurutnya, dia hilang kata-kata dan hanya mampu berdoa terselamat daripada kejadian tanah runtuh itu.

"Ini kejadian pertama dilalui sepanjang melakukan aktiviti perkhemahan. Malah, ini juga pertama kali kami berkhemah di sini. Sewaktu tengok tanah runtuh dan tanah timbus khemah, saya hanya fikir hidup atau mati saja.

"Sekarang masih rasa terkejut dan trauma, tak tahu nak cakap apa. Semua barang kami pun tertimbus termasuk kereta, cuma, bila sampai di sini (Balai Polis Hulu Yam Bharu), sempat 'call' kawan dan minta dia maklumkan kepada keluarga.

"Kami datang berkhemah di sini sejak kelmarin dan sepatutnya hari ini keluar. Tidak sangka pula kami berdepan insiden tanah runtuh awal pagi tadi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Disember 2022 @ 12:47 PM