ANGGOTA APM membawa mangsa.
ANGGOTA APM membawa mangsa.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Hulu Selangor: "Tolong hidupkan anak saya...! Tolonglah selamatkan dia!" Itu antara rintihan menyayat hati mangsa yang juga ibu kepada salah seorang kanak-kanak tertimbus mati.

Anggota Pasukan Khas Pertahanan Awam (Paspa) Angkatan Pertahanan Awam (APM) ditemui berkata, rayuan berulang kali wanita malang itu cukup meruntun jiwanya dan anggota penyelamat yang melakukan operasi menyelamat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali di sini, sejak awal pagi Jumaat lalu.

Menurutnya, anggota APM serta pasukan Bomba dan Penyelamat memulakan operasi mencari mangsa sekitar jam 3.30 pagi Jumaat lalu sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Ketika itu keadaan kelam-kabut di lokasi kejadian. Ramai mangsa yang terselamat dalam keadaan panik manakala sebahagian lagi berusaha menjejaki ahli keluarga yang hilang tertimbus.

"Ketika itulah saya sempat melihat tangan dan kaki seorang remaja lelaki di dalam timbunan tanah runtuh itu. Kami segera mengorek kawasan itu untuk mengeluarkan mayat mangsa sekitar jam 5.45 pagi (Jumaat lalu).

"Dalam masa sama seorang wanita menghampiri kami dan merayu supaya usaha dilakukan bagi menyelamatkan anaknya itu. Situasi amat menyedihkan dan sukar digambarkan. Selain mayat, kami turut menemui botol dan beg kelengkapan susu bayi di lokasi runtuhan.

"Malah, penemuan mayat pasangan ibu dan anak dalam keadaan berpelukan tertimbus jam 4.30 petang kelmarin turut meruntun hati anggota penyelamat bertugas," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pengurusan Bencana dan Operasi APM Kolonel (PA) Sharudin Md Zain berkata, usaha mencari dan menyelamat baki 12 mangsa bermula jam 8 pagi semalam berdepan cabaran getir berikutan runtuhan tanah yang tebal.

"Usaha mencari dan menyelamat dilakukan secara berterusan dan hanya direhatkan pada jam 10 malam kelmarin susulan hujan lebat yang dibimbangi berlaku runtuhan susulan.

"Tiga daripada 23 anggota Paspa yang terbabit operasi hari pertama adalah anggota wanita ambilan pertama yang ditauliahkan pada Oktober 2022 lalu.

"Selain itu, Unit Anjing Pengesan K9 APM kali pertama diaktifkan dalam operasi mencari dan menyelamat tanah runtuh selepas kali pertama diaktifkan dalam operasi mencari warga Ireland yang hilang di Seremban pada 4 Ogos 2019," katanya.

Menurutnya, anjing bernama 'TAR' K9 APM sangat terlatih dan lulus ujian pengiktirafan antarabangsa bagi anjing pengesan dan beberapa ekor anjing lagi sedang dilatih bagi pengiktirafan sama.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 4:55 PM