KETUA Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor, pada sidang media operasi mencari dan menyelamat hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
KETUA Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, dan Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Hafisham Mohd Noor, pada sidang media operasi mencari dan menyelamat hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Mayat lelaki yang juga mangsa ke-26 insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, ditemukan dalam keadaan berpelukan dengan seekor anjing.

Dalam penemuan jam 11.16 pagi itu, turut ditemukan seekor lagi anjing mati berhampiran dengan mayat mangsa terbabit.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, berdasarkan maklumat awal mangsa ke tapak perkhemahan itu bersama tiga ekor anjing.

"Alhamdulillah pencarian setakat ini, kita (pasukan pencarian) menjumpai satu mayat lelaki memeluk seekor anjing dan terdapat seekor lagi anjing berada berhampiran mangsa.

"Bagaimanapun, seekor lagi anjing milik mangsa belum ditemui. Usaha pencarian akan diteruskan di sekitar kawasan berkenaan," katanya dalam sidang media hari ini.

Selain itu, Hafisham berkata, berdasarkan maklumat mangsa berkhemah di Sektor A namun mayatnya ditemui di Sektor B dan tidak menolak kemungkinan mayat mangsa dibawa arus sungai ke kawasan itu.

"Kita tidak memfokuskan pencarian di Sektor B tapi kita masih meletakkan sebuah jengkaut untuk membuat pencarian dan menemui mayat mangsa pada kedalaman 4.5 meter di bawah tanah.

"Kita meneruskan pencarian di Sektor A yang dipercayai ada satu lagi mangsa selain mempergiatkan pencarian di Sektor C yang dikatakan lebih ramai mangsa berkhemah di situ," katanya.

Katanya, operasi SAR dihentikan sementara pada jam 2 petang ini berikutan hujan lebat.

Terdahulu, media melaporkan satu lagi mayat seorang lelaki ditemukan di lokasi pencarian tragedi tanah runtuh, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 3:00 PM