JOSEPH. FOTO Arkib Bernama
JOSEPH. FOTO Arkib Bernama
Suzalina Halid


Kuala Lumpur: Barisan Nasional (BN) belum mempunyai nama calon bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri yang bakal diisi dalam kerajaan perpaduan dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dinyatakan Naib Pengerusinya Tan Sri Joseph Kurup yang juga Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) ketika dihubungi sebentar tadi.

"Belum lagi...maaf saya tidak mahu spekulasi," katanya kepada BH, melalui pesanan WhatsApp, di sini.

Semalam, Perdana Menteri, memberi jaminan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri akan diwujudkan di bawah Kabinetnya dalam kalangan wakil komponen kerajaan perpaduan.

Beliau berkata, ia akan diisi oleh wakil masing-masing daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Selepas kemelut pelantikan Perdana Menteri berlarutan selama lima hari susulan tiada gabungan parti yang memperoleh majoriti mudah pada pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Presiden PKR itu akhirnya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri di Istana Negara, semalam.

Anwar akan memimpin kerajaan perpaduan yang sehingga kini dianggotai oleh BN, GPS dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Perikatan Nasional (PN) bagaimanapun menolak untuk menyertai kerajaan perpaduan dan akan tampil sebagai pembangkang di Parlimen kelak.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 5:50 PM