BUNG Moktar mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. FOTO Facebook.
BUNG Moktar mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam. FOTO Facebook.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Sekurang-kurangnya seorang Ahli Parlimen mewakili Barisan Nasional (BN) Sabah bakal dilantik sebagai timbalan menteri dalam jemaah Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Difahamkan, nama Ahli Parlimen Kimanis yang juga bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin antara yang disahkan berada dalam senarai.

Menurut sumber, Ketua Umno Kimanis itu dijangka dilantik semula, namun belum pasti sama ada kembali ke Kementerian Pendidikan atau kementerian lain.

"Ya, macam ada (namanya), tapi kena tunggu pengumuman rasmi," katanya ketika dihubungi.

Semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkongsi gambar perjumpaannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui Facebook, dipercayai ada kaitan dengan pemilihan calon timbalan menteri.

Bung Moktar sebelum ini meluahkan kekecewaannya apabila tiada wakil BN Sabah dilantik sebagai menteri penuh dalam Kabinet Anwar dan menyifatkannya sebagai satu bentuk peminggiran terhadap BN Sabah.

Berikutan itu, difahamkan BN Sabah menuntut Ahli Parlimennya diberi keutamaan dalam pelantikan timbalan menteri Kerajaan Perpaduan.

Selain Ahli Parlimen Kimanis itu, Ahli Parlimen Pensiangan yang juga Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), Datuk Arthur Kurup turut dilihat antara calon berpotensi dilantik timbalan menteri mewakili BN Sabah.

Arthur adalah bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, menjadikan beliau dan Mohamad sebagai calon berkelayakan berdasarkan pengalaman untuk sekali lagi dilantik sebagai timbalan menteri.

Dalam pada itu, difahamkan dua muka baharu mewakili Umno Sabah yang menang atas tiket BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bulan lalu juga mungkin dipertimbangkan untuk menggalas jawatan timbalan menteri.

Mereka ialah Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Siti Aminah Aching dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, kedua-duanya tiada sebarang jawatan dalam kerajaan negeri.

Tiga lagi Ahli Parlimen BN di Sabah ialah Bung Moktar sendiri (Kinabatangan), Datuk Ir Shahelmey Yahya (Putatan) dan Datuk Andi Muhamad Suryady Bandy (Kalabakan), namun ketiga-tiganya masing-masing memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri, menteri dan pembantu menteri dalam Kabinet negeri.

BN Sabah memenangi tujuh kerusi Parlimen pada PRU-15, menjadikannya parti yang paling banyak kerusi dimenangi pada pilihan raya itu disusuli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), Pakatan Harapan (PH) (lima), Parti Warisan (Warisan) (tiga), Bebas (dua) dan masing-masing satu Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) serta Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini, hanya dua menteri dalam Kerajaan Perpaduan yang mewakili Sabah iaitu Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick (PH-UPKO) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Armizan Mohd Ali (GRS).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Disember 2022 @ 3:13 PM