Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang media Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn WTC Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pada sidang media Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan Malaysia di Menara Dato Onn WTC Kuala Lumpur. FOTO ASWADI ALIAS
Oleh Ahmad Suhael Adnan dan Siti Nur Ain Mat Ripar


Kuala Lumpur: Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan pada 14 Mei ini bakal menghimpunkan lebih 10,000 perwakilan dan penyokong daripada 19 parti politik yang membentuk kerajaan.

Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata konvensyen pertama kali dianjurkan itu bakal memperkukuh perpaduan dan kerjasama sehingga ke peringkat akar umbi antara parti yang membentuk kerajaan.

Katanya, ia penting bagi menjamin kestabilan politik antara parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan, sekali gus mengelak krisis politik yang berlaku sepanjang empat tahun lalu berulang.

"Konvensyen ini akan menjadi titik tolak kepada mewujudkan kesefahaman dan kolaborasi yang lebih kukuh di peringkat parti, dengan matlamat yang jelas bagi memastikan kestabilan politik dapat terus dipertahankan.

"Kita tak mahu lagi peristiwa lampau berulang. Cukuplah dalam empat tahun setengah ketidakstabilan politik, kerajaan berubah tiga kali yang memedihkan rakyat dari segi pelaburan, ekonomi dan sebagainya.

"Konvensyen ini pentas terbaik untuk pimpinan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan menyatakan tekad dan keazaman secara bersama bagi memastikan komitmen dan agenda yang akan dilaksanakan didukung sepenuhnya parti di semua peringkat," katanya pada sidang media Sekretariat Kerajaan Perpaduan di Menara Dato Onn di sini, hari ini.

Asyraf berkata, konvensyen bertemakan 'Madani: Mewajahi Masa Depan Malaysia' itu akan bermula pada jam 10 pagi Ahad minggu depan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, membabitkan dua persidangan yang berjalan serentak iaitu Konvensyen Nasional Wanita dan Konvensyen Nasional Pemuda Puteri dan berakhir jam 12.30 tengah hari.

Ia kemudian disusuli konvensyen utama pada jam 2 petang, bermula dengan sidang bicara rakyat membabitkan tiga sesi, dengan setiap wakil parti akan membentangkan mengenai komitmen Kerajaan Perpaduan dalam isu ekonomi, masa depan pembinaan negara bangsa dan konsep madani dalam pelaksanaan agenda rakyat.

Konvensyen utama itu akan dihadiri semua presiden parti gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Kemuncaknya adalah amanat daripada Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum berakhir dengan deklarasi konvensyen yang akan diputuskan nanti," katanya.

Ditanya mengenai kesan konvensyen itu pada persiapan Kerajaan Perpaduan berdepan enam pilihan raya negeri (PRN), Asyraf berkata ia penting bagi memastikan kesepakatan pimpinan di peringkat pusat turut diterjemahkan sehingga ke peringkat akar umbi.

Bagi mencapai matlamat itu, katanya, konvensyen berkenaan akan turut dijalankan di setiap negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus memperkukuh kerjasama parti gabungan di peringkat bawahan.

"Sedangkan lidah lagi tergigit, kita tidak boleh mengharapkan kerjasama ini tidak ada salah faham. Perbezaan pandangan itu biasa.

"Sepanjang enam bulan pembentukan Kerajaan Perpaduan, ia berbeza berbanding pengalaman PH ketika mentadbir selama 22 bulan, di mana kita tidak dengar isu sensitif agama atau kaum dibangkitkan," katanya.

Dalam pada itu, Asyraf memaklumkan Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan akan bermesyuarat buat kali ketiga Ahad ini pada jam 8 malam di Menara Dato Onn bagi memuktamadkan beberapa perkara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 2:40 PM