GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Raja Noraina Raja Rahim

Subang: Seramai 531 pegawai dan anggota polis mengundi awal di pusat pengundian bagi Parlimen Sungai Buloh di Balai Polis Kampung Baru Subang, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, mereka mula keluar untuk menunaikan tanggungjawab bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) seawal 8 pagi.

Menurutnya, setakat 10 pagi tadi, kira-kira 40 peratus pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh sudah mengundi.

"Tidak ada apa-apa masalah, proses pengundian awal pagi ini semua berjalan lancar. Setakat 10 pagi, kira-kira 40 peratus pegawai dan anggota sudah menunaikan tanggungjawab," katanya ketika ditemui, di sini.

Dalam pada itu, Shafa'aton berkata, seramai 485 anggota polis akan ditugaskan untuk menjaga keselamatan pada hari mengundi, Sabtu ini.

Katanya, pihaknya juga akan mendapat bantuan daripada Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

"Sepanjang tempoh berkempen bermula 5 November lalu, tiada laporan polis diterima daripada mana-mana calon. Proses berkempen di Sungai Buloh kali ini harmoni," katanya.

Parlimen Sungai Buloh menyaksikan pertandingan tujuh penjuru membabitkan calon Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin; Datuk R Ramanan (Pakatan Harapan); Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional); Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang); Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al-Sagoff serta Nurhaslinda Basri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 12:22 PM