Pengundi kali pertama, (dari kanan) Nur Addini Zulkapli, Nuraina Balqis Zulkapli, Hanis Khaliesa Zulkapli, Dania Erika Zoorman, ketika Pilihanraya Umum ke-15 di SK Kota Damansara Seksyen 7. FOTO AZIAH AZMEE
Pengundi kali pertama, (dari kanan) Nur Addini Zulkapli, Nuraina Balqis Zulkapli, Hanis Khaliesa Zulkapli, Dania Erika Zoorman, ketika Pilihanraya Umum ke-15 di SK Kota Damansara Seksyen 7. FOTO AZIAH AZMEE
Noor Hidayah Tanzizi


Sungai Buloh: "Saya bukan mahu mengikut trend menunjukkan jari berdakwat tetapi saya mahu melaksanakan tanggungjawab memilih wakil rakyat supaya suara kami dibawa ke tengah," kata Dania Erika Zoorman.

Dania Erika, 19, dari Kota Damansara, di sini, teruja membuang undi buat pertama kali di Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang bermula 8 pagi hari ini.

Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam itu berkata, dia datang ke pusat pengundian si Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 7 Kota Damansara, di sini, bersama ibu dan dua abangnya pada 8 pagi.

Katanya, kewajipan menunaikan tanggungjawab dalam proses demokrasi negara itu perlu dilakukan setiap rakyat biarpun masih muda kerana ia penting untuk masa depan negara.

"Biarpun baru pertama kali mengundi saya sangat teruja melaksanakan 'tugas' untuk negara dan sanggup bangun awal ke pusat mengundi.

"Alhamdulillah semua berjalan lancar dan saya berharap calon yang dipilih nanti akan melakukan tugas serta tanggungjawabnya dengan baik," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Rakannya, Nuraina Balqis Zulkapli, 19, turut senada melakukan proses demokrasi itu untuk memilih calon yang baginya mampu membawa kemajuan Sungai Buloh ke aras yang lebih baik.

Menurutnya, dia datang bersama tiga kakak dan ibu ke pusat pengundian itu bagi memilih calon yang akan membawa denyut nadi rakyat.

"Kalau ikut trend lebih baik tak payah datang mengundi. Walaupun masih muda kami tahu apa yang kami mahukan supaya suara kami terus didengari.

"Saya datang ke sini untuk memilih calon wakil rakyat supaya kawasan Sungai Buloh lebih maju dan baik selepas ini. Saya memilih calon mengikut pemerhatian dan manifesto dibawanya," katanya.

Sementara itu, suri rumah yang baru pertama kali mengundi, Hanis Khaliesa Zulkapli, 26, berkata, dia tidak mahu melepaskan peluang mengundi kerana tak dapat berbuat demikian pada PRU-14.

Katanya, Parlimen Sungai Buloh mempunyai tujuh calon pilihan yang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing dan itu membuatnya sukar memilih calon terbaik untuk kawasannya.

"Tetapi hari ini saya sudah memutuskan siapa yang akan saya pilih untuk menjadi wakil rakyat di sini melalui caranya berkerja dan usahanya yang mahu membawa suara rakyat di sini.

"Yang paling penting selepas tamat pilihan raya ini calon berkenaan perlu melakukan tugas dan janjinya. Jangan hanya tinggal janji sahaja," kata penduduk Kota Damansara itu.

Pada PRU-15, Parlimen Sungai Buloh menyaksikan saingan tujuh penjuru antara calon Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin; Datuk R Ramanan (Pakatan Harapan); Mohd Ghazali Md Hamin (Perikatan Nasional); Mohd Akmal Mohd Yusof (Pejuang); Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia).

Selain itu, dua calon Bebas iaitu Syed Abdul Razak Syed Long Al-Sagoff serta Nurhaslinda Basri turut memberi saingan di kerusi berkenaan.

Untuk rekod, pada PRU-14 lalu, kerusi Parlimen Sungai Buloh disandang oleh R Sivarasa daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti undi 26,634.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 November 2022 @ 10:49 AM