Hakisan yang berlaku menyebabkan jalan sempit Jalan Bukit Jerek di Kampung Jerek, Bertam, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Hakisan yang berlaku menyebabkan jalan sempit Jalan Bukit Jerek di Kampung Jerek, Bertam, di sini. FOTO Paya Linda Yahya
Paya Linda Yahya


Gua Musang: Hakisan bukit yang berlaku di laluan Bukit Jerek di Kampung Jerek, Bertam menyebabkan jalan itu semakin sempit dan menimbulkan kebimbangan kepada penggunanya.

Tinjauan mendapati lebih memburukkan keadaan apabila tiada lampu jalan dipasang di kawasan terbabit sehingga boleh menyebabkan kemalangan terutama pada waktu malam.

Ismail Hussin, 47, berkata, sejak berlaku kejadian kemalangan maut bulan lalu, penduduk semakin bimbang dengan keadaan jalan terbabit yang sempit dan berbukit.

"Keadaan jalan yang sempit dan berbukit ini sangat membahayakan pengguna jalan raya.

"Ditambah pula sekarang sudah memasuki musim tengkujuh, akan lebih memburukkan keadaan jalan ini," katanya ketika ditemui di Jalan Bukit Jerek, Kampung Jerek, Bertam di sini.

Menurut Mohd Azmi Abdul Razak, 37, laluan terbabit menjadi jalan alternatif bagi sesetengah pengguna untuk ke Jeli pada musim perayaan.

"Dengan keadaan jalan sekarang, kami risau akan berlaku lagi kemalangan maut seperti sebelum ini. Bagi penduduk tempatan sudah maklum akan keadaan jalan dan sentiasa berhati-hati.

"Jadi kami harap pihak yang berkenaan dapat mengambil maklum akan masalah ini. Diharap penyelenggaraan atau melebarkan jalan selain memasang lampu jalan dibuat untuk keselamatan pengguna," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang remaja warga Thailand maut selepas tercampak daripada motosikal yang ditunggangnya selepas bertembung kereta dalam kemalangan dekat Kampung Jerek, Bertam di sini.

Dalam kejadian jam 11.20 pagi itu, penunggang motosikal jenis Y15, Afnan Baha, 18, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 12:43 PM