KEADAAN jalan berkenaan. FOTO Ramli Ibrahim
KEADAAN jalan berkenaan. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim


PENGGUNA mendakwa sebahagian laluan di Jalan Gua Musang-Bertam, dekat Kampung Bertam Lama, di Gua Musang, yang runtuh sejak empat lalu, masih belum dibaiki.

Ini menyebabkan laluan di itu menjadi sempit dan kenderaan yang melaluinya terpaksa lebih berhati-hati, demi mengelak kejadian tidak diingini.

Seorang pengguna jalan itu, Sudin Mahmud, 45, berkata, kebanyakan pengguna jalan berkenaan kerap terkejut dengan keadaan jalan di situ.

Dia berkata, mereka terpaksa berhati-hati demi mengelak daripada terbabas.

Katanya, dia hairan kenapa jalan runtuh selama empat tahun itu masih belum dibaiki walaupun jalan berkenaan menjadi laluan penting.

"Saya sendiri kerap terkejut kerana bukan di situ saja yang berlaku tanah runtuh, sebaliknya ada satu tempat lagi di laluan berkenaan, turut runtuh," katanya.

Seorang penduduk Kampung Bertam, Daud Ahmad, 52, pula berkata, tanah runtuh yang semakin serius itu boleh berbahaya kepada pelajar sekolah yang menunggang motosikal.

Katanya, hampir 30 pelajar dari kampung itu yang menunggang motosikal ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bendahara, Jerek.

Dia berkata, pada permulaannya, hanya sebahagian daripada kawasan jalan itu hanya merekah sebelum mendap akibat tanah runtuh.

"Kita harap kerajaan dapat membaiki jalan itu segera sebelum berlaku kejadian tidak diingini termasuk kereta terhumban ke dalam gaung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 January 2020 @ 9:38 AM