ABDUL Aziz didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan polis
ABDUL Aziz didakwa di Mahkamah Majistret Gua Musang, hari ini. FOTO ihsan polis
Nor Fazlina Abdul Rahim


Gua Musang: Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tirinya di sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek, di sini Rabu lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Abdullah, 33, yang juga orang kurang upaya (OKU) mental mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Rahana Abd Razak, 55.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di dalam bilik sebuah rumah di Kampung Batu Machang, Jerek antara 3.30 hingga 4.30 petang pada 16 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat mangsa.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita ditemukan mati dalam keadaan leher terputus dipercayai ditetak anak tirinya dengan menggunakan parang di Kampung Dalam Senduk, Jerek di Gua Musang.

Mayat ditemukan di ruang tamu rumahnya dan dipercayai dibunuh pada 4.55 petang.


Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 1:15 PM