KERAJAAN di bawah pimpinan Ismail Sabri menjalankan pelbagai strategi untuk mengurangkan tekanan kos hidup dan memastikan sekuriti makanan menjadi agenda utama.
KERAJAAN di bawah pimpinan Ismail Sabri menjalankan pelbagai strategi untuk mengurangkan tekanan kos hidup dan memastikan sekuriti makanan menjadi agenda utama.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Langkah kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk memperkukuhkan sekuriti bekalan makanan negara dilihat dapat mengurangkan tekanan kos hidup dan memastikan sekuriti makanan menjadi agenda utama menjaga kebajikan rakyat serta memastikan daya tahan negara untuk mendepani pelbagai cabaran global.

Ketua Ekonomi Buruh, Kementerian Sumber Manusia dan Emiratisasi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari berkata, isu peningkatan harga makanan yang melanda Malaysia pada ketika ini adalah isu bersifat global.

"Sebagai sebuah negara kecil yang terbuka dan berdagang, Malaysia tidak boleh mengelak daripada menerima kesan ke atas gelagat negara lain terutamanya negara yang menjadi pembekal utama kepada bahan mentah sektor pertanian dan industri makanan di Malaysia.

"Malaysia bergantung tinggi kepada import makanan dan juga bahan mentah seperti makanan ayam daripada negara luar.

"Negara pengeksport ini mengalami gangguan pengeluaran akibat daripada impak pandemik Covid-19, ketidaktentuan cuaca dan keadaan geopolitik," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, contohnya India yang menghadkan eksport gandum kerana faktor cuaca yang menghadkan pengeluaran gandum.

"Peperangan antara Rusia dan Ukraine walaupun hanya memberi kesan langsung yang minimum kepada Malaysia namun peperangan ini memberi kesan langsung kepada negara yang berdagang dengan Malaysia seperti Eropah.

"Dan dengan keadaan ini, Malaysia juga terkesan secara langsung dan tidak langsung," katanya.

Katanya, kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri menjalankan pelbagai strategi untuk mengurangkan tekanan kos hidup dan memastikan sekuriti makanan menjadi agenda utama untuk menjaga kebajikan rakyat.

"Secara spesifiknya, pihak kerajaan merangka strategi jangka masa pendek antaranya ialah menyediakan pemberian subsidi langsung kepada pengeluar bagi menstabilkan harga makanan di pasaran serta mengimbangi kos pengeluaran makanan.

"Sebagai contoh, harga ayam runcit di pasaran adalah pada RM9.40 sekilogram manakala harga minyak masak (botol) runcit pula pada RM7.10 sekilogram.

"Kerajaan juga masih memberi subsidi bahan api bagi mengawal inflasi makanan dan barangan lain dalam ekonomi. Perkara ini susulan daripada timbulnya trend peningkatan harga minyak mentah yang meningkat daripada AS$84.1 setong (kira-kira RM390.39) pada Januari lalu hingga mencecah AS$114.7 setong (kira-kira RM532.44) pada Jun," katanya.

Dr Mohd Yusof berkata, selepas sekian lama diperjuangkan oleh pakar, akhirnya strategi mengubah struktur pengeluaran sektor pertanian dan makanan diambil kira oleh kerajaan.

"Strategi ini bersifat jangka panjang kerana ia memakan masa yang lebih lama untuk melihat keberkesanannya.

"Merujuk kepada dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), pihak kerajaan mengusulkan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara, 2021-2025 (Pelan Tindakan DSMN 2021-2025).

"Pelan tindakan ini berjaya direalisasikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dengan menumpukan lima teras, 15 strategi dan 96 inisiatif dalam memastikan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi krisis sekuriti makanan dan situasi luar jangka," katanya.

Menurutnya, selain itu, langkah kerajaan menghapuskan sistem permit import (AP) yang akan memberi peluang lebih ramai pembekal untuk mengimport makanan dan bahan mentah.

SUBSIDI minyak masak botol kepada pengeluar turut diberikan.
SUBSIDI minyak masak botol kepada pengeluar turut diberikan.

"Ini akan menjadikan sektor pertanian dan makanan lebih kompetitif dan berdaya saing di masa depan.

"Kaedah ini akan mengurangkan kuasa monopoli ke atas pasaran yang seterusnya akan dapat menstabilkan harga di masa depan," katanya.

Katanya, satu inovasi baharu tadbir urus dilaksanakan pihak kerajaan bagi memastikan isu sekuriti makanan turut diteliti secara proaktif yang didasari pelbagai peringkat pentadbiran.

"Penubuhan Jawatankuasa Sekuriti Makanan Peringkat Negeri dan Daerah dipersetujui bagi memastikan Pelan Tindakan DSMN 2021-2025 dapat dilaksanakan sebaiknya bagi mencapai objektif yang disasarkan.

"Sekuriti makanan juga memerlukan kepada pelaburan berskala besar supaya kapasiti pengeluaran makanan negara dapat ditingkatkan. Malah strategi yang lebih ampuh diperlukan supaya negara turut mampu menjadi pengeksport makanan," katanya.

Menurutnya, strategi jangka pendek yang diambil kerajaan menunjukkan hasil dalam menstabilkan harga makanan.

"Subsidi secara langsung kepada produk makanan menunjukkan hasil manakala subsidi ke atas bahan api yang secara tak langsung mengurangkan tekanan kos pengeluaran kepada industri turut menyokong kepada kestabilan harga keseluruhannya.

"Bagaimanapun, keberkesanan strategi jangka pendek turut dipengaruhi oleh beberapa faktor yang dipengaruhi persekitaran luaran seperti penurunan nilai ringgit serta gangguan pengeluaran di negara lain yang memberi impak rantaian perbekalan makanan global.

"Bagi strategi jangka panjang bertujuan untuk mengubah struktur pengeluaran makanan di sepanjang rantaian perbekalan. Strategi ini memakan masa untuk melihat keberkesanannya.

"Sebagai contoh, walaupun pemansuhan AP dilaksanakan, penguasaan pasaran akibat pelaksanaan AP yang begitu lama menjadi kesukaran kepada syarikat baharu untuk menembusi pasaran.

"Begitu juga langkah kerajaan pada Belanjawan 2023 yang lalu iaitu memanfaat tanah milikan Felda, Felcra dan Risda untuk pengeluaran makanan akan memakan masa untuk dilihat keberkesanannya. Pelaksanaan inisiatif ini pada 2023 dijangka akan dapat dilihat hasilnya seawal 2024," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 7:02 AM