SEBAHAGIAN besar subsidi tertumpu kepada bahan api sebanyak 71.6 peratus manakala baki adalah untuk kadar faedah, input pertanian, minyak masak, elektrik, pampasan tol, pengangkutan, ayam dan telur serta lain-lain. FOTO Arkib NSTP
SEBAHAGIAN besar subsidi tertumpu kepada bahan api sebanyak 71.6 peratus manakala baki adalah untuk kadar faedah, input pertanian, minyak masak, elektrik, pampasan tol, pengangkutan, ayam dan telur serta lain-lain. FOTO Arkib NSTP

Kuala Lumpur: Subsidi adalah instrumen dasar yang penting bagi kebanyakan negara dari perspektif ekonomi, sosial dan politik.

Menurut World Trade Organisation, subsidi ditakrifkan sebagai sumbangan kewangan oleh kerajaan yang memberi manfaat kepada penerima. Berbeza dengan perbelanjaan, subsidi tidak menjana nilai tambah secara langsung.

Secara amnya, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengklasifikasikan subsidi berdasarkan tujuh kategori iaitu subsidi tunai, subsidi kredit, subsidi cukai, subsidi ekuiti, subsidi berbentuk barangan, subsidi perolehan, dan subsidi kawal selia.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024, subsidi adalah antara mekanisme untuk menjana pembangunan ekonomi dan membantu golongan mudah terjejas dalam usaha meningkatkan lagi pelaburan perniagaan dan menambah baik kualiti hidup.

Subsidi mampu mengimbangi kegagalan pasaran dan faktor luaran untuk mencapai kecekapan ekonomi jika dilaksanakan dengan sewajarnya. Semasa kemelesetan ekonomi atau peningkatan harga komoditi global, subsidi boleh membantu menstabilkan harga barangan keperluan bagi melindungi isi rumah daripada kejutan harga yang mendadak dan seterusnya memberi tekanan inflasi.

Namun subsidi juga boleh memudaratkan ekonomi dengan menyebabkan herotan harga seterusnya menyumbang kepada ketidaksempurnaan pasaran sehingga berlaku pembaziran dan ketidakcekapan pengagihan sumber.

Dari segi kemampuan kewangan kerajaan, subsidi secara pukal dan tidak bersasar memberi kesan buruk kepada kedudukan fiskal dan menjadikan belanjawan tidak mampan.

Sepanjang 2012 hingga 2022, kerajaan membelanjakan RM223.5 bilion atau 8.9 peratus daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan mengurus untuk subsidi.

Sebahagian besar subsidi tertumpu kepada bahan api sebanyak 71.6 peratus manakala baki untuk kadar faedah, input pertanian, minyak masak, elektrik, pampasan tol, pengangkutan, ayam dan telur serta lain-lain.

Pada 2022, jumlah subsidi mencatat paras tertinggi iaitu sebanyak RM70.3 bilion, berbanding purata tahunan RM15.2 bilion bagi tempoh 10 tahun terdahulu dan hampir menyamai perbelanjaan pembangunan sebanyak RM71.6 bilion.

Peningkatan ini dicetuskan pelbagai faktor termasuk pandemik Covid-19, ketegangan geopolitik dan perubahan iklim yang menjejaskan harga komoditi global.

Tambahan pula, kerajaan menyediakan RM24.3 bilion bagi melaksanakan program subsidi upah secara one-off dalam tempoh pandemik sebagai usaha mengekalkan pekerjaan dan mengurangkan pemberhentian pekerja.

Secara keseluruhan, program inimemberi manfaat kepada hampir 360,000 majikan untuk mengekalkan 2.95 juta pekerja tempatan.

Pada 2014, subsidi bahan api mencatat RM18.5 bilion dengan purata harga minyak mentah pada AS$99 setong. Pada akhir tahun berkenaan, kerajaan melaksanakan mekanisme pengapungan harga bahan api bagi petrol dan diesel yang menyumbang kepada pengurangan signifikan subsidi bahan api kepada hanya RM3.2 bilion pada 2015.

Namun kerajaan membatalkan mekanisme ini pada Julai 2018 dan memperkenalkan semula subsidi untuk RON95 dan diesel yang menyebabkan peningkatan subsidi kepada RM7.5 bilion menjelang akhir tahun.

Dengan purata harga minyak mentah pada AS$100 setong pada 2022, subsidi bahan api melonjak kepada RM52 bilion atau 74 peratus daripada jumlah keseluruhan subsidi.

Bagi menangani kebimbangan keterjaminan makanan dan peningkatan harga makanan global, kerajaan memperuntukkan subsidi melebihi RM1 bilion setahun untuk padi termasuk harga padi, baja dan benih padi.

Pada 2022, kerajaan memperkenal subsidi ayam dan telur menghampiri RM2 bilion pada kadar 80 sen sekilogram ayam dengan purata penggunaan bulanan 70 juta ekor.

Sementara itu, purata penggunaan bulanan telur sekitar 1.1 bilion dengan subsidi 10 sen sebiji.

Kesimpulannya, saiz subsidi pukal besar terutamanya bahan api menimbulkan risiko yang signifikan kepada kemampanan fiskal jangka masa panjang.

Dengan mengambil kira kesan pemberian subsidi itu, pendekatan khusus perlu dirangka bagi mengurangkan jurang pendapatan, meminimumkan ketidakcekapan dan pada masa sama mengekang ketirisan dan pembaziran.

Pelaksanaan rasionalisasi subsidi lebih berkesan dan bersasar penting serta perlu dilaksana segera bagi mengurangkan tekanan ke atas belanjawan kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Oktober 2023 @ 7:01 AM