RONALD menyampaikan ucapan perasmian Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021. FOTO Bernama
RONALD menyampaikan ucapan perasmian Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021. FOTO Bernama
BERNAMA

Serdang: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) serta agensinya termasuk Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) komited memperkasakan penyelidikan berkaitan sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin dalam apa jua keadaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata MARDI, selaku agensi penyelidik utama di bawah MAFI, berperanan menjalankan pelbagai penyelidikan berhubung sekuriti makanan termasuk aspek sosioekonomi golongan sasar.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi MARDI (HIM) 2021 di sini hari ini, beliau mencadangkan agar MARDI menubuhkan unit pakar untuk memberi tumpuan aspek sekuriti makanan negara dalam penyelidikan mereka.

"Pengukuhan sekuriti makanan negara sememangnya satu proses yang berterusan dan dinamik. Selepas pengalaman dua tahun berhadapan pandemik (Covid-19) dan gangguan dari segi import makanan dari luar, kerajaan harus lebih menumpukan aspek sekuriti makanan negara," katanya.

Bagi menangani cabaran sekuriti makanan negara, inovasi bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah semasa, malah berpotensi membuka ruang dan peluang baharu untuk dimanfaatkan industri agromakanan, katanya.

Ronald berkata, antara cabaran utama sekuriti makanan negara yang perlu diberikan keutamaan dan perhatian pada masa ini adalah peningkatan penduduk dan permintaan makanan, peningkatan kos sara hidup dan harga makanan, serta kekurangan khasiat makanan dan malnutrisi berganda.

Cabaran lain adalah tahap produktiviti yang rendah, intensif buruh dan populasi petani berusia, pelaburan swasta penyelidikan dan pembangunan yang masih rendah, tahap adaptasi teknologi dan mekanisasi yang rendah, serta perubahan iklim serta kemampanan sumber semula jadi, katanya.

RONALD (tiga, kiri) melihat produk hasil penyelidikan dan inovasi MARDI. Turut sama Haslina (kiri) dan Mohamad Zabawi (dua, kiri). FOTO Bernama
RONALD (tiga, kiri) melihat produk hasil penyelidikan dan inovasi MARDI. Turut sama Haslina (kiri) dan Mohamad Zabawi (dua, kiri). FOTO Bernama

Ronald berkata, MAFI merangka Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 (Pelan Tindakan DSMN) bagi meningkatkan daya tahan sistem makanan agar kekal utuh dalam menghadapi sebarang tekanan.

MARDI, katanya mempunyai peranan yang sangat penting dalam pelaksanaan Pelan Tindakan DSMN antaranya berkaitan meningkatkan intensiti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan bagi meningkatkan produktiviti agromakanan.

"MAFI mengharapkan teknologi dan inovasi yang dihasilkan MARDI dapat dipindahkan kepada golongan sasar mengikut keperluan dan kesesuaian di sepanjang rantaian nilai sekuriti makanan," katanya.

Turut hadir pada HIM 2021 itu ialah Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 5:27 PM