GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Semakin tinggi kebergantungan kepada bahan mentah dan pasaran luar negara, semakin berisiko negara berhadapan dengan krisis sekuriti atau keselamatan makanan pada masa akan datang.

Prof Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia berkata, ia terutama jika berlaku peningkatan mendadak atau keterbatasan pengeluaran bahan mentah.

Pakar ekonomi itu berkata, kajian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna jelas menunjukkan faktor kebergantungan kepada bahan mentah dan pasaran luar negara serta faktor cuaca adalah antara penyebab memberikan kesan kepada kenaikan harga barang.

"Kerajaan perlu mengenal pasti alternatif kepada kebergantungan bahan mentah dan pasaran luar negara dengan memanfaatkan semaksimum mungkin potensi yang ada di dalam negara.

"Ini untuk menghasilkan bahan mentah dalam negara yang bersesuaian dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan mentah dan pasaran luar negara," katanya mengulas isu kenaikan harga barang ketika ini.

Beliau berkata, kenaikan harga barang dilihat membebankan rakyat yang pada ketika ini sedang dalam proses pemulihan kesan daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

Menurutnya, Indeks Harga Pengguna Malaysia menunjukkan purata peningkatan tahunan 2.9 peratus dengan 123.7 pada Oktober 2021 berbanding 120.2 di bulan yang sama tahun lalu.

"Berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan makanan dan minuman bukan alkohol.

"Peningkatan tertinggi dicatatkan oleh Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (2.7 peratus), diikuti Terengganu (2.6 peratus), Pahang (2.5 peratus), Kelantan (2.4 peratus), Perak (2.4 peratus), Johor (2.2 peratus), Melaka (2.0 peratus) dan Negeri Sembilan (1.9 peratus).

"Situasi semasa semakin meruncing apabila berlaku kenaikan harga ayam dan telur yang memberikan tekanan kepada peniaga dan pengguna," katanya.

Menurutnya, banyak faktor lagi yang mempengaruhi kenaikan harga barang antaranya kenaikan bahan mentah, lebihan permintaan daripada penawaran dan kenaikan kos pengangkutan.

Katanya, ini secara tidak langsung memberikan kesan kepada kenaikan harga barang dan perkara itu perlu diberi perhatian supaya dapat dielak daripada berlakunya krisis sekuriti makanan.

"Kenaikan harga barang ini memberikan kesan yang signifikan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama peniaga dan golongan B40.

"Pemantauan harga perlu dilaksanakan kerajaan secara lebih meluas dan ianya perlu dilaksanakan 24 jam sekurang-kurangnya sehingga Disember 2021 supaya harga barang dapat dikawal dan mengelak daripada terjadinya manipulasi harga.

"Langkah ini juga mencegah ada pihak tertentu ingin memperoleh keuntungan luar biasa daripada situasi semasa yang jelas amat menekan rakyat Malaysia ketika kita sedang dalam proses pemulihan ekonomi negara dan rakyat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 1:23 PM