GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Dewan Rakyat, hari ini, diberitahu kajian sedang dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran beras negara kepada 75 peratus tempoh lima tahun akan datang dalam usaha mengatasi isu sekuriti atau keselamatan makanan.

Pendekatan proaktif Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) itu juga sekali gus bertujuan mengurangkan jumlah beras yang diimport.

Timbalan Menteri I Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ketika ini dasar berkaitan beras yang menjadi makanan ruji negara adalah 70:30, iaitu 70 peratus dihasilkan negara dan 30 peratus lagi diimport.

"Walaupun kita selesa dengan dasar ini, Mafi mengambil pendekatan mengkaji kemungkinan kita pertingkatkan lagi pengeluaran beras negara kepada sebanyak 75 peratus untuk lima tahun akan datang.

"Ini akan dilaksanakan menerusi beberapa pendekatan yang kita berkeupayaan untuk mencapainya," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Bharu) yang bertanya apakah dasar digariskan kementerian mampu mengatasi isu sekuriti makanan seperti mengurangkan kebergantungan pada makanan yang diimport.

Mengulas lanjut, Ahmad yakin Dasar Agromakanan Negara (DAN) 2.0 2021-2030 dan Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (DSMN) 2021-2025 yang dirangka Mafi, mencukupi untuk mengatasi isu keselamatan makanan.

"Kemampuan Mafi juga terbukti apabila negara tidak berdepan isu kekurangan bekalan makanan sepanjang negara berdepan pandemik Covid-19, antaranya dengan kita mengerah satu pasukan memantau setiap hari keperluan dan kekurangan yang dihadapi.

"Kekangan kita ketika ini antaranya selain bergantung pada banyak barangan import, penggunaan juga sentiasa meningkat.

"Justeru, kita susun beberapa strategi dan yakin DAN 2.0 serta DSMN mencukupi untuk menggariskan apakah langkah dan tindakan yang patut kita laksanakan," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut) yang meminta diperjelaskan strategi dalam memastikan keselamatan makanan tidak terjejas khususnya sewaktu negara mendepani situasi pandemik Covid-19 ketika ini, Ahmad berkata kerajaan sentiasa komited untuk terus memperkukuh sekuriti makanan negara supaya kekal terjamin dalam apa jua keadaan.

"Ini dapat dilihat menerusi usaha pemerkasaan sistem makanan negara bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 September 2021 @ 12:40 PM