LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meminta individu yang mempunyai maklumat berhubung perbuatan sogokan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diminta melaporkan pada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

SPR dalam kenyataannya berkata, pengadu yang mempunyai bukti disaran berbuat demikian.

"Jika terdapat perbuatan sogokan atau rasuah ketika proses pengundian pos di Parlimen Bera, pengadu disarankan melaporkan kepada SPRM," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa anggota tentera sudah mengundi awal di Parlimen Bera dan dibayar RM300 adalah fitnah serta merendahkan martabat anggota keselamatan.

Beliau dilaporkan berkata, dakwaan itu sengaja dilakukan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap Barisan Nasional (BN) menjelang PRU-15, 19 November ini.

Sebelum ini, Presiden PKR mendakwa ada anggota tentera khususnya di Parlimen Bera dibayar dan sudah mengundi awal.

Ketika berucap di majlis di Terengganu, Anwar mendakwa anggota tentera dibayar RM300 untuk berbuat demikian.

Sehubungan itu, Anwar yang juga calon Parlimen Tambun mendesak SPR menyiasat perkara terbabit.

Seramai 113,000 anggota tentera termasuk pasangan mengundi awal di 189 pusat mengundi pada 15 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 8:14 PM