HISHAMMUDDIN (tengah) bergambar bersama jentera BN Parlimen Jasin selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Dewan Alamanda, hari ini. FOTO Amir Mamat.
HISHAMMUDDIN (tengah) bergambar bersama jentera BN Parlimen Jasin selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra di Dewan Alamanda, hari ini. FOTO Amir Mamat.
Amir Mamat


Jasin: Rakyat boleh menilai sendiri tuduhan pembangkang, terutama Datuk Seri Anwar Ibrahim yang jelas gagal untuk membuktikan dakwaan kononnya berlaku pengundian awal anggota tentera di Bera, Pahang baru-baru ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ini kerana dakwaan berkenaan dilihat sebagai satu tuduhan apabila Ketua Pembangkang itu masih belum mengemukakan bukti kepada pihak berkuasa meskipun sudah berjanji untuk melakukannya.

Justeru, katanya, rakyat mampu menilai dakwaan ahli politik terutama pemimpin pembangkang yang tidak mampu menunjukkan sebarang bukti terhadap sesuatu dakwaan.

"Bila dekat pilihan raya ini, mereka boleh buat macam-macam tuduhan. Saya ingat lagi pada pilihan raya terdahulu, dia (Anwar) kata ada bukti bertong-tong (dokumen), (tetapi) selepas pilihan raya satu benda pun tak nampak.

"Saya lihat politik sebegini rupa akhirnya orang dapat menilai sendiri sama ada apa mereka cakap ini serius atau tidak," katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama jentera Barisan Nasional (BN) Parlimen Jasin di Dewan Alamanda, di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, Pengerusi BN Parlimen Jasin merangkap Ketua Umno Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman serta calon BN Parlimen Jasin, Datuk Roslan Ahmad.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) sebelum ini mendakwa kononnya ada anggota tentera di Bera sudah mengundi awal untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dan dibayar sejumlah RM300 untuk berbuat demikian.

Mengulas isu itu, Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN menganggap calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Tambun itu keterlaluan dan silap.

Sehubungan itu, beliau percaya ramai anggota tentera dan orang ramai marah dengan Anwar kerana dalam berpolitik, beliau sanggup membuat tuduhan tanpa mengemukakan sebarang bukti.

"Dulu kata ada bukti, (tapi) sampai hari ni tidak ada. Kalau ada bukti, bawalah kepada agensi berkenaan untuk siasat, saya tiada hal," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga calon BN Parlimen Sembrong berharap proses pengundian awal esok berjalan lancar.

Katanya, beliau turut berharap semua pegawai dan anggota tentera dapat menjalankan tanggungjawab mereka.

"Dari segi pengundian awal, saya harap mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan disiplin. Seperti biasa, saya doakan semua yang memikul amanah (sebagai anggota tentera) melihatnya (mengundi) sebagai satu tanggungjawab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2022 @ 2:27 PM