MOHAMED Azmin menyifatkan tindakan Anuar itu sekali gus menunjukkan parti gabungan berkenaan tidak pernah menghormati pegawai kerajaan. FOTO MIKAIL ONG
MOHAMED Azmin menyifatkan tindakan Anuar itu sekali gus menunjukkan parti gabungan berkenaan tidak pernah menghormati pegawai kerajaan. FOTO MIKAIL ONG
Noor Atiqah Sulaiman


Gombak: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu meminta maaf kepada anggota tentera kerana dakwaan mereka menerima RM300 untuk mengundi di Parlimen Bera dianggap sebagai satu bentuk penghinaan.

Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata tindakan itu sekali gus menunjukkan parti gabungan berkenaan tidak pernah menghormati anggota pentadbiran awam, pegawai kerajaan, anggota keselamatan termasuk polis dan tentera.

"Ini satu ucapan yang tidak bertanggungjawab dan beliau cuba meremehkan kematangan anggota tentera kita. Ini satu penghinaan seolah-olah anggota tentera ini mudah disogok dengan budaya rasuah.

"Beliau perlu memohon maaf kepada warga tentera kerana mereka inilah yang banyak berkorban untuk menjaga keselamatan dan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pertandingan e-sukan Datuk Seri Azmin Ali (DSAA) Cup, di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), di sini hari ini.

Sebelum ini, Anwar yang juga calon PH di Parlimen Tambun mendakwa terdapat anggota tentera khususnya dalam Parlimen Bera sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) serta dibayar sebanyak RM300.

Presiden PKR itu dipetik berkata, beliau mempunyai bukti yang kukuh dan meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan sewajarnya berhubung perkara berkenaan.

Mohamed Azmin yang juga calon PN di Gombak berkata, sebelum ini pihaknya pernah mendedahkan bahawa PH mendesak Perdana Menteri untuk menukar lapan ketua setiausaha kementerian.

"Mengapa pegawai kerajaan nak diheret dalam kancah politik sedangkan mereka laksanakan dasar yang diputuskan oleh kerajaan dan ini terbukti PH ini sentiasa berulang kali menghina dan menginjak anggota perkhidmatan awam, dan terkini adalah anggota tentera.

"Maka PH seharusnya mengambil tanggungjawab ini dan saya percaya pegawai kerajaan termasuk anggota keselamatan akan menghukum PH pada PRU kali ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 November 2022 @ 2:29 PM