PEMANDU yang maut apabila treler dipandu terbabas. FOTO Ihsan Pembaca,
PEMANDU yang maut apabila treler dipandu terbabas. FOTO Ihsan Pembaca,
Ahmad Hasbi


Nilai: Treler yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 280 Leburaya Utara-Selatan (Plus), berhampiran sebuah kilang, dekat sini tengah hari tadi dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Difahamkan, dalam kejadian jam 12.45 tengah hari itu, treler jenis Nissan yang dipandu Muhammad Iqbal Kamarulzaman, 42, dalam perjalanan dari arah Seremban, menghala ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, mangsa dikatakan tercampak keluar daripada treler berkenaan serta mengalami kecederaan di beberapa anggota badan dan disahkan maut di lokasi kejadian.

"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika treler yang dipandu mangsa dalam perjalanan ke arah utara. Apabila tiba di lokasi, treler yang dipandu di lorong kedua kiri itu hilang kawalan.

"Ia terbabas ke laluan bertentangan dan melanggar lima kenderaan lain yang sedang bergerak lurus ke arah selatan. Bomba memaklumkan pemandu treler tercampak keluar daripada treler dipandunya.

"Akibat kemalangan itu, pemandu treler terbabit mengalami kecederaan di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, lima kenderaan yang dikatakan dirempuh treler berkenaan adalah kereta Mercedes Benz, sebuah lori jenis Mercedes, kenderaan pelbagai guna (MPV) Mitsubishi Outlander, kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Alphard dan sebuah motosikal Honda Dash.

"Pemandu lori, seorang lelaki berusia 29 tahun mengalami luka ringan pada kepala. Pemandu Mitsubishi Outlander seorang lelaki berusia 52 tahun cedera pada muka dan tangan kiri kini sedang dirawat di hospital.

"Penumpang Mitsubishi Outlander seorang lelaki berusia 20 tahun mengalami luka di kaki kanan, manakala lelaki berusia 32 tahun yang menunggang motosikal patah tangan dan kini dirawat di hospital.

"Mangsa lain tidak mengalami kecederaan," katanya.

Sementara itu, Lembaga Leburaya Malaysia (LLM) melalui laman Facebooknya memaklumkan kerja mengalihkan dan membersihkan tempat kejadian selesai kira-kira jam 5 dan semua laluan dibuka semula.

LLM memaklumkan, kesesakan berlaku sepanjang 7 kilometer di kedua-dua arah sehingga jam 3 petang dan hanya satu lorong dibuka selain pihak lebuh raya membuka laluan kontra bagi menyuraikan kesesakan.

Berita berkaitan:

  • Pemandu treler maut nahas 5 kenderaan
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 November 2022 @ 5:36 PM