BOMBA membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam salah satu kenderaan. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam salah satu kenderaan. FOTO Ihsan Bomba
Izlaily Nurul Ain Hussein


PEMANDU lori maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 141.4 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan berhampiran Pagoh, hari ini.

Kemalangan 7.30 pagi itu membabitkan tiga lori, tiga kereta termasuk sebuah kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).

M Thamotharan, 41, parah di kedua-dua kakinya dan disahkan maut di lokasi kejadian.

Terdahulu, kira-kira 6.40 pagi, terdapat kemalangan membabitkan lori Pos Malaysia Berhad dengan sebuah treler menyebabkan dua individu cedera, di lokasi yang sama.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, siasatan awal mendapati Thamotharan yang memandu lori Hicom dari arah Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru.

“Tiba di lokasi kejadian, pemandu lori itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar sebuah Perodua Myvi dan Mitsubishi Lancer yang berada di hadapannya.

“Akibat dari pelanggaran itu, Mitsubishi Lancer berpusing dan melanggar Proton Saga milik PDRM yang berada di lorong kecemasan.

“Lori lelaki itu juga kemudian merempuh dua lori yang berada di hadapannya,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori itu tersepit dan parah serta disahkan maut di tempat kejadian.

Dalam kemalangan itu, pemandu Mitsubishi Lancer juga dilaporkan cedera di tangan, manakala pemandu kenderaan lain selamat.

Menurut Zaharudin, semua kenderaan yang terbabit dalam kemalangan mengalami kerosakan yang majoritinya di bahagian hadapan dan belakang.

“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Mohd Khairul Sufian Dahari berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.42 pagi membabitkan sebuah lori dengan sebuah treler.

Beliau berkata, terdapat dua mangsa tersepit dalam lori milik Pos Malaysia Berhad dan pihaknya bertindak memeriksa mangsa sebelum melaksanakan kerja menyelamat untuk membawa keluar mereka yang tersepit.

“Ketika operasi menyelamat, sebuah lori dipandu secara meluru dan merempuh Perodua Myvi sehingga mengakibatkan kemalangan berlaku pada sebuah Mitsubishi Lancer dan Proton Saga.

“Lori itu terus merempuh belakang dua lagi lori yang mana satu daripadanya juga milik Pos Malaysia Berhad,” katanya.

Menurut beliau, dalam operasi menyelamat itu, seorang anggota bomba cedera di bahagian bahu akibat terkehel ketika mengeluarkan mangsa dari lori pada kemalangan pertama.

Katanya, seramai 25 anggota bomba terbabit dalam operasi dua kemalangan itu yang terdiri dari BBP Pagoh, BBP Bukit Gambir dan BBP Tangkak dengan empat jentera.

“Operasi kemudian ditamatkan 8.30 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 1:39 PM