KEMALANGAN membabitkan tiang konkrit jatuh dari treler di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Terowong Menora. FOTO ihsan PDRM
KEMALANGAN membabitkan tiang konkrit jatuh dari treler di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Terowong Menora. FOTO ihsan PDRM
Muhammad Apendy Issahak


MASALAH brek dikesan punca kejadian sebuah treler gagal dikawal menyebabkan dua tiang konkrit terjatuh mengakibatkan kematian dua lelaki di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Terowong Menora di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati treler membawa 18 tiang konkrit itu dalam perjalanan menuju utara.

Menurutnya, kemalangan jam 9.30 malam membabitkan tujuh kenderaan iaitu dua treler dan lima kereta iaitu jenis Honda City, Perodua Axia, Nissan Sylphy, Proton Iriz dan Mercedes.

Katanya, semua kenderaan remuk di bahagian depan dan bumbung kecuali treler muatan tiang konkrit yang tiada kerosakan.

“Ketika menuruni bukit, treler muatan konkrit itu gagal dikawal dipercayai mengalami masalah brek.

KENDERAAN remuk selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan PDRM
KENDERAAN remuk selepas terbabit dalam kemalangan. FOTO ihsan PDRM

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu treler dipercayai cuba mengelak daripada melanggar kenderaan di hadapan dengan mengubah haluan dari lorong kiri ke lorong kanan mengakibatkan muatan dibawa jatuh.

“Dua tiang konkrit dipercayai jatuh di atas pembahagi jalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan satu daripadanya menghempap kereta Honda City dinaiki empat individu yang bergerak di lorong kanan arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan, semalam

Razali berkata, tiang itu bergolek lalu dilanggar Perodua Axia dipandu lelaki berusia 24 tahun dan treler Scania dipandu lelaki berusia 50 tahun yang kedua-duanya menuju arah selatan dan mereka turut cedera dalam kejadian itu.

Beliau berkata, tiang kedua dilanggar Nissan Sylphy di lorong tengah menghala utara sebelum ia dipercayai pecah dua dan dilanggar kereta Proton Iriz serta Mercedes dari arah sama, namun tiada kecederaan dilaporkan.


“Sementara 12 tiang konkrit jatuh di lorong kanan laluan ke utara dan baki empat lagi berada di atas treler yang berhenti di R&R Sungai Perak arah utara.

“Akibat kemalangan itu, dua lelaki dalam Honda City disahkan maut di tempat kejadian dan dua wanita dalam kenderaan sama parah,” katanya.

Razali berkata, mangsa yang maut adalah pemandu, Leong Woei Ser, 34, dan penumpang belakang, Cheah Kim Seng, 60, manakala dua lagi yang parah adalah Cheah Mee Yee, 27, dan Cheah Mun Yee, 30, yang semuanya beralamat di Hala Perpaduan Taman Saga, Ulu Kinta.

Susulan kejadian, katanya, pemandu treler, Nurul Puadi Amir, 41, ditahan di R&R Sungai Perak (arah utara) tidak lama selepas kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 5:30 AM