CALON Parlimen Jerantut dan Dewan  Undangan Negeri  (DUN) Tahan dari Barisan Nasional dan Perikatan Nasional duduk semeja bersama penduduk kampung di warung makan Kuala Tembeling sambil  beramah mesra. FOTO Roselan Ab Malek
CALON Parlimen Jerantut dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tahan dari Barisan Nasional dan Perikatan Nasional duduk semeja bersama penduduk kampung di warung makan Kuala Tembeling sambil beramah mesra. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek

Jerantut: Bagi kawasan sekitar Jerantut yang dikelilingi kampung tradisional, warung dan pekan sehari, ia sering menjadi tumpuan penduduk untuk bersarapan selain membeli barangan keperluan harian.

Malah, calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di kerusi Parlimen Jerantut kali ini turut menjadikan warung dan pekan sehari sebagai lokasi bertemu pengundi.

Pagi tadi, calon Barisan Nasional (BN) dan Perikanan Nasional (PN) bertembung kerana ingin bersarapan di Warung Kak Dah, Kuala Tembeling.

Calon BN Parlimen Jerantut, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar, calon BN Dewan Undangan Negeri (Dun) Tahan, Faezah Ishak dan mantan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris bertembung dengan calon parlimen PN, Ir Ts Khairil Nizam Khairudindan serta calon PN Dun Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin.

Menurut Mohd Zukarmi, mereka semua duduk semeja bersama penduduk kampung sambil beramah mesra dan bertanya khabar di antara satu sama lain.

"Kehadiran calon calon yang bertanding turut disenangi penyokong kedua-dua belah pihak serta penduduk kampung. Senario ini harus dicontohi agar ia tidak memecah-belah masyarakat setempat.

"Kita kemukakan budaya politik matang dan sejahtera kerana masing-masing membawa hasrat untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing," katanya.

Bagi Mohd Zakhwan, suasana seperti itu harus diteruskan kerana walaupun berlainan parti tetapi silaturahim perlu diteruskan.

"Ini kerana, kempen hanya seminggu dan kita perlu terus hidup dalam harmoni selepas itu," katanya.

Bagi calon BN Dun Damak, Fasal Jamlus, bertembung dengan calon PN Dun Damak, Zuridan Daud di beberapa pekan sehari tidak menjadi masalah kerana mereka sudah mengenali satu sama lain.

"Walaupun berlainan parti, kami sebagai anak tempatan sudah berkawan sejak sekian lama dan kempen kami lebih berkisar tentang apa parti tawarkan untuk pengundi," katanya.

Namun bagi calon Pakatan Harapan, Bebas dan Pejuang yang sebahagiannya bukan anak tempatan, kelibat mereka sukar ditemui di khalayak ramai.

Mereka dilihat melebihkan kempen dari rumah ke rumah selain membuat siaran langsung melalui media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 November 2022 @ 1:38 PM