ZUKARMI berucap ketika Program Ramah Mesra di Kampung Simpang Tebing Tinggi. FOTO Hairul Anuar Rahim
ZUKARMI berucap ketika Program Ramah Mesra di Kampung Simpang Tebing Tinggi. FOTO Hairul Anuar Rahim
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Jerantut: Menang 4-0 menjadi misi Parlimen Jerantut dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Sabtu ini.

Keyakinan itu dilontarkan calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Jerantut, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar, yang yakin gelombang perubahan semakin dirasai di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sudah tiba masanya pengundi di Jerantut memberi mandat penuh kepada BN yang sudah memiliki rekod perkhidmatan terbaik selama ini.

"Berdasarkan sambutan sepanjang kempen, saya yakin BN mampu merampas kembali kerusi DUN Damak dan Tahan yang sebelum ini dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Pas selain mempertahankan Pulau Tawar.

"Gelombang perubahan ini boleh mengembalikan mandat dan kepercayaan rakyat kepada BN untuk mentadbir.

"Dengan gerak kerja jentera selain kesedaran masyarakat sepanjang pentadbiran PH menyebabkan mereka mahukan perubahan," katanya ketika ditemui di Tebing Tinggi, di sini, malam tadi.

Mohd Zulkarmi berkata, landskap Jerantut bakal berubah sebagai pusat eko-pelancongan yang mampu melonjakkan ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, BN mahu memastikan ekonomi rakyat kembali melonjak walaupun sedar cabaran ekonomi global mungkin mempengaruhi keadaan semasa.

"BN juga memberi fokus untuk membangunkan potensi modal insan anak muda dengan menyediakan peluang pekerjaan berskala besar di Jerantut.

"Sekiranya peluang pekerjaan bertambah, ekonomi setempat dan kuasa beli juga akan melonjak menyebabkan penduduk mendapat manfaat," katanya.

Selain itu, Mohd Zulkarmi berkata, infrastruktur juga akan ditambah baik khususnya di kawasan pedalaman, felda dan perkampungan Orang Asli agar kualiti hidup dapat ditingkatkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2022 @ 11:53 AM