AHMAD Nazlan (kiri) dan Nazri (kanan) bergambar Norzari selepas diumumkan sebagai pemenang pada PRU-14 di Dewan Majlis Daerah Jerantut. -Foto ROSELAN AB MALEK
AHMAD Nazlan (kiri) dan Nazri (kanan) bergambar Norzari selepas diumumkan sebagai pemenang pada PRU-14 di Dewan Majlis Daerah Jerantut. -Foto ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


DUA wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang juga sahabat karib sejak di bangku sekolah bertekad mahu pastikan daerah Jerantut terus membangun selari dengan peredaran zaman.

Datuk Ahmad Nazlan Idris yang mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen manakala Datuk Nazri Ngah menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar akan bekerjasama bagi memastikan daerah itu tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

Ahmad Nazlan berkata, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat kerana masih memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi wakil rakyat di Parlimen itu.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Nazri yang juga rakan sekelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Tawar pada 1972 dan 1973 kerana turut dipilih menjadi wakil rakyat di DUN Pulau Tawar.

“Kami akan berganding bahu untuk bersama-sama membantu rakyat dalam aspek pembangunan dan ekonomi supaya rakyat terus terbela,” katanya ketika ditemui di Jerantut, hari ini.

Ahmad Nazlan berkata, BN bahagian Jerantut agak terkilan apabila gagal mempertahankan empat kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) apabila DUN Tahan dan Damak dirampas oleh PAS tetapi reda dengan keputusan ditentukan rakyat.

Sementara itu, Nazri berkata, kejayaan mereka berdua turut diinspirasikan bekas guru yang juga Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian, Mohamad Norzari Yahaya.

“Beliau bukan sahaja memberi semangat dan dorongan kepada kami untuk menjadi seorang pelajar berjaya, malah turut membimbing kami untuk berjaya dalam politik dan beliau turut berkempen bersama-sama kami.

“Kini tiba masa kami berkhidmat sebagai wakil rakyat dan akan mengotakan janji untuk memperjuangkan nasib generasi kedua FELDA dan kampung tradisional terutama menyediakan lebih banyak kawasan penempatan dengan pembinaan rumah kos rendah,” katanya.

Keputusan PRU14, menyaksikan penyandang kerusi Parlimen Jerantut, Ahmad Nazlan menang dengan majoriti 5,908 undi apabila mendapat 22,640 undi untuk menyingkirkan calon PAS, Yohanis Ahmad yang memperoleh 16,732 undi dan calon PKR, Wan Mohd Shahrir Wan Abdul Jalil (10,877 undi).

Bagi DUN Pulau Tawar pula, BN mencatatkan kemenangan dengan majoriti 587 undi apabila Nazri mendapat 8,446 undi manakala calon PAS, Ahmad Nawi Samah (7,859 undi) dan calon PKR, Dr Jamaluddin Abdul Rahim hanya mendapat 1,973.

Calon PAS DUN Damak, Zuridan Md Daud menang dengan majoriti 1,456 undi selepas memperoleh 8,444 undi manakala Datuk Natalie Lim Chong Ly (BN) hanya mendapat 4,396 undi dan wakil PKR, Wong Chun Yuan meraih 6,988 undi.

Bagi DUN Tahan, calon PAS, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin menang tipis dengan majoriti 69 undi apabila memperoleh 5,638 undi menewaskan penyandang sebelum ini daripada BN, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak (5,569 undi) manakala calon PH, Nordin Samat (945 undi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 3:58 PM