Hidayatidayu Razali

Kota Bharu: Dua lelaki ditahan dalam kejadian berasingan di Gua Musang, malam tadi, untuk siasatan berhubung penyebaran kertas undi pos bagi calon Parlimen Gua Musang.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, lelaki lingkungan 20-an dan 50-an, masing-masing ditahan pada jam 11.30 malam dan jam 2 pagi tadi.

Katanya, dua lelaki itu ditahan susulan penyebaran kertas undi pos calon menerusi aplikasi WhatsApp.

"Penyebaran kertas undi pos itu mungkin akan menjejaskan atau sedikit sebanyak mengganggu perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

"Polis akan berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, pihaknya sedang membuat siasatan berhubung kejadian itu termasuk motif penyebaran kertas undi pos berkenaan.

Katanya, dua lelaki itu ditahan reman tiga hari bermula hari ini sehingga Jumaat untuk siasatan mengikut Seksyen 317 J, Akta Kesalahan Pilihan Raya dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).

Muhamad Zaki berkata, pihaknya menerima 58 laporan polis sehingga hari ini yang membabitkan pelbagai kesalahan, namun hanya tiga kertas siasatan dibuka iaitu penyebaran kertas undi pos di Gua Musang, perbuatan khianat dengan merosakkan bendera di Bachok dan laporan polis daripada calon Pengkalan Chepa berkenaan kelulusan pendidikan.

"Tiada saksi yang melihat perbuatan khianat bendera dan kes dalam siasatan kerana ia akan menimbulkan provokasi dan serius.

"Perbuatan khianat merosakkan bendera parti disiasat mengikut Seksyen 427, Kanun Keseksaan (KK), manakala laporan polis calon berhubung tular kelulusan calon dibuka mengikut Seksyen 500 KK dan Seksyen 233, AKM," katanya.

Pada perkembangan lain, Muhamad Zaki berkata, pihaknya menerima 121 permohonan permit ceramah daripada semua parti yang bertanding sehingga hari ini.

"Semua permit itu diluluskan kerana tidak mempunyai masalah termasuk kempen dari rumah ke rumah pengundi.

"Setakat ini, kempen dari rumah ke rumah pengundi tidak menerima sebarang aduan daripada masyarakat dan ia berjalan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 5:04 PM