GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Polis membuka kertas siasatan berhubung paparan kertas undi pos menyokong salah seorang calon Parlimen Kuala Selangor yang dimuat naik di laman Facebook, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa, berkata orang awam yang melihat hantaran itu tampil membuat laporan pada jam 5 petang.

Beliau berkata, hantaran yang didakwa itu mengenai penyebaran satu kertas pengundian pos yang sudah ditanda di media sosial.

"Penyebaran kertas undi pos itu mungkin akan menjejaskan atau sedikit sebanyak mengganggu perjalanan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

"Polis akan berbincang dengan pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4(A)(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Justeru, katanya, pihak polis tidak teragak-agak mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menyebar dan mengambil gambar kertas undi di media sosial.

"Orang ramai diminta mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan SPR," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 12:14 PM