Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Polis Kelantan membuka lapan kertas siasatan membabitkan wang, perbuatan khianat dan mengaibkan calon bertanding sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) setakat ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, laporan yang dibuat adalah masing-masing di daerah Kota Bharu, Pasir Mas dan Pasir Puteh.

Katanya, pihaknya menerima banyak laporan sepanjang tempoh PRN namun laporan yang benar-benar menjurus kepada siasatan adalah lapan, bagaimanapun kes yang dilaporkan ini masih lagi dalam siasatan memandangkan ia memerlukan ketelitian.

"Satu kes cubaan membabitkan wang, lain kes banyak kepada perbuatan khianat dan mengaibkan calon.

"Kita akan menghantar kesemua kertas siasatan itu kepada pihak pendakwaan untuk proses pendakwaan dan melihat apa tindakan susulan boleh diambil.

"Pada masa sama, pihak kami juga akan memastikan kertas siasatan ini disiapkan dalam tempoh seminggu sebagaimana arahan daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid," katanya selepas lawatan pusat pengundian Taman Asuhan Kanak-Kanak Taska Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.

Terdahulu Muhamad Zaki turut melaksanakan tanggungjawab mengundi awal bagi Dewan Undang Negeri (DUN) Kota Lama.

Beliau berkata, seramai 11,205 anggota polis dan tentera di Kelantan menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi dalam undi awal PRN kali ini.

"Proses undi awal yang bermula seawal pukul 8 pagi itu membabitkan 33 pusat mengundi membabitkan anggota polis dan tentera seluruh negeri Kelantan.

"Perjalanan proses mengundi adalah amat baik dan ia boleh diselesaikan lebih awal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2023 @ 1:06 PM
Mohamad Zaki pada sidang media selepas selesai mengundi awal sempena bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Mohamad Zaki pada sidang media selepas selesai mengundi awal sempena bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR