LORI membawa muatan sawit bertembung dengan treler membawa muatan bijih besi, mengorbankan seorang pemandu dan seorang parah di Jalan Gua Musang - Kuala Berang. FOTO Ramli Ibrahim
LORI membawa muatan sawit bertembung dengan treler membawa muatan bijih besi, mengorbankan seorang pemandu dan seorang parah di Jalan Gua Musang - Kuala Berang. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim

PEMANDU lori maut, manakala kelindannya parah apabila kenderaan dinaikinya bertembung treler di Felda Aring 6 Jalan Gua Musang-Kuala Berang, dekat Gua Musang, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang, mangsa Muhamad Zaki Ismail, 30, berasal dari Rancangan Tanah Felda Chiku 7, maut di tempat kejadian.

Kelindan lori yang parah warga Indonesia, Budianto, 41 dikejarkan ke Hospital Kuala Krai untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pemandu treler Muhamad Arif Ikmal Mohti, 22, berasal dari Jalan Seroja 1 Taman Pusing, Ipoh Perak, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd Taufi Maidin berkata, kejadian itu berlaku ketika lori dipandu mangsa sarat muatan sawit dalam perjalanan dari Aring 6 ke kilang sawit Aring.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, treler sarat muatan bijih besi memandu perlahan menaiki bukit berada di laluan bertentangan dari Aring 5 ke Kuantan.

“Mangsa dipercayai nampak treler terlalu hampir ketika menuruni bukit, namun tidak dapat mengawal kenderaannya lalu bertembung dengan treler terbabit.

“Muhamad Zaki meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

“Siasatan awal mendapati treler yang sarat dengan muatan bijih besi itu berada di laluan bertentangan kerana jalan rosak teruk,” katanya.

Menurutnya, mayat dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan hari ini.

“Kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2019 @ 10:46 AM