Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang bertanding untuk kerusi Parlimen Permatang Pauh memberi jaminan bahawa jenteranya tidak akan melakukan perkara di luar jangka termasuk mencetuskan provokasi sepanjang tempoh berkempen yang berbaki 10 hari lagi.

Mohd Zaidi berkata, sekiranya terdapat jenteranya dikesan melakukan perkara di luar batasan hingga menggugat keharmonian proses berkempen maka pihak berkuasa dialu-alukan mengambil tindakan sewajarnya.

Menurutnya, pihaknya berjanji bahawa akan melakukan kempen secara berhemah dan tertib mengikut peraturan serta undang-undang yang ditetapkan.

"Saya bagi jaminan kepada semua yang kami akan jalankan kempen dengan berhemah dan tertib," katanya.

Mohd Zaidi yang lebih dikenali sebagai Cikgu Zaidi ditemui ketika melancarkan ikrar bagi melaksanakan sembilan agenda kepada masyarakat Permatang Pauh sekiranya beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen di sini, hari ini.

Semalam, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang mengecam kempen provokasi yang didakwa dicetuskan hingga menyebabkan berlaku kekecohan di tapak Pasar Malam Penanti di sini, petang kelmarin.

MOHD Zaidi ditemui ketika melancarkan ikrar bagi melaksanakan sembilan agenda kepada masyarakat Permatang Pauh sekiranya beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen. FOTO DANIAL SAAD
MOHD Zaidi ditemui ketika melancarkan ikrar bagi melaksanakan sembilan agenda kepada masyarakat Permatang Pauh sekiranya beliau diangkat sebagai Ahli Parlimen. FOTO DANIAL SAAD

Ketua Penerangannya, Amir Ghazali dilaporkan berkata, insiden itu didakwa berlaku pada 6.45 petang selepas penganjur tapak pasar malam bertindak menghentikan ceramah yang dilakukan Mohd Zaidi di laluan masuk pasar malam terbabit.

Mengulas lanjut, Mohd Zaidi yang juga Ketua Bahagian Umno Permatang Pauh berkata, beliau menafikan dakwaan PKR yang kononnya beliau antara individu yang mencetuskan provokasi ketika berkempen di tapak pasar malam berkenaan.

"Insiden itu menyebabkan timbulnya fitnah yang mengatakan saya tumbuk (pukul) peniaga pasar malam di situ.

"Di sini saya ingin jelaskan bahawa saya tidak langsung buat sebarang provokasi.

"Ketika kejadian saya sedang berucap sambil berdiri di atas Hilux (pacuan empat roda) di sebelah sebuah lori, kemudian mereka (peniaga) minta saya ubah sedangkan saya berada di situ hanya sekejap sahaja.

"Situasi itu nampak macam tegang tetapi tidak ada pergaduhan yang mana habis sahaja saya berucap terus saya keluar dari situ," katanya.

Mohd Zaidi berkata, beliau akan memberi kerjasama kepada pihak polis sekiranya dipanggil untuk diambil keterangan berhubung isu itu.

"Saya tidak pasti sama ada terdapat laporan polis namun bagi saya provokasi ini hanya biasa sahaja.

"Jika saya diarahkan untuk bagi keterangan, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 2:33 PM