SERING menunggang ke acara-acara permotoran. FOTO Genes Gulitah
SERING menunggang ke acara-acara permotoran. FOTO Genes Gulitah
Lizam Ridzuan


Minatnya terhadap motosikal Honda cub bermula sejak sekolah lagi sebagai kegunaan utama bapanya yang sering menghantarnya ke sekolah.

Sejak itu motosikal tersebut sangat rapat dengannya sehinggalah dia sendiri belajar menunggang dengan jentera itu dan timbul minat menyimpannya sebagai koleksi.

Mohd Zulfikar Mohd Yusof, 34, yang berasal dari Muar, Johor dan kini bertugas di Shah Alam memilih motosikal cub bagi mengembangkan bakat dan kreativitinya menjadikan motosikal ikonik rakyat Malaysia itu tampil berbeza.

Sejak beberapa tahun lalu dia mula membeli beberapa cub dijadikan sebagai koleksi dan model Honda GB1C90 ini diberi nafas baharu dengan gaya tersendiri.

"Saya sering sertai acara permotoran dengan motosikal Honda cub dan mula cari idea tampilkan kelainan dengan warna pasukan Rothmans Honda yang popular sekitar 80-an dan 90-an dahulu,"

"Saya pilih konsep ini kerana belum ada motosikal cub Honda yang menggunakannya selain ia tampil lebih bergaya dan sporty," katanya.

Motosikal tahun pembuatan 1983 dibelinya pada harga RM400 dalam keadaan rangka dan enjin sahaja yang masih baik dan sedikit demi sedikit ia dibaik pulih dengan kos RM8,000.

CUB gaya motosikal grand prix. FOTO Genes Gulitah
CUB gaya motosikal grand prix. FOTO Genes Gulitah

Antara yang ditukar pada motosikal ini ialah enjin dipertingkatkan pada blok head model Honda EX-5 dengan empat gear kelajuan, suspensi belakang Opido Racing, rim sukan Tires serta kos mengecat dengan corak pasukan grand prix itu dengan kos sekitar RM800.

"Kebanyakan kerja pemasangan saya lakukan sendiri termasuk lengan ayun motosikal yang dipadankan daripada model Honda EX-5 Dream," katanya yang bertugas sebagai 'team leader' operator.

Aksesori lain ditambah seperti pelindung pemegang motosikal dan bakul besi corak kunci dibeli dari Indonesia serta komponen motosikal 90 peratus adalah tulen asal termasuk lampu isyarat, lampu hadapan dan belakang.

METER motosikal padanan model terkini. FOTO Genes Gulitah
METER motosikal padanan model terkini. FOTO Genes Gulitah

Untuk ekzos dikekalkan dengan ciri standard, serta tambahan lain seperti meter baharu, tabung simpanan baju hujan serta nombor pendaftaran gaya retro yang dipesan dari Kota Bharu, Kelantan.

"Oleh kerana minat dengan corak dan warna, saya juga sering mengenakan pakaian pasukan itu yang dibeli daripada kedai pakaian terpakai (bundle) bagi menyerlahkan lagi karakter terutama ketika ke acara-acara permotoran," katanya lagi.

Tambahnya lagi ada individu yang menawarkan motosikal ini pada harga RM5,000 namun buat masa ini dia belum mahu menjualnya selepas hampir dua tahun menyiapkannya.

Perancangan lain pada motosikal ini ialah Zulfikar mahu jadikan ia pelana tunggal dan menggantikan bahagian belakang dengan platform besi gaya klasik serta mahu menukar rim sukan bagi sentuhan gaya lebih segar.

SERLAH kemasan dan ketelitian. FOTO Genes Gulitah
SERLAH kemasan dan ketelitian. FOTO Genes Gulitah

Sejak 2016 dia sering menyertai acara permotoran tempatan di seluruh negara dan sehingga kini memiliki tiga motosikal cub dalam koleksinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:11 AM