MOHD Zaidi (tengah) bersama sebahagian daripada 14 kanak-kanak yang menghidap pelbagai jenis penyakit kanser daripada Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara di Juru, Bukit Mertajam, hari ini. - FOTO Amir Irsyad Omar
MOHD Zaidi (tengah) bersama sebahagian daripada 14 kanak-kanak yang menghidap pelbagai jenis penyakit kanser daripada Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara di Juru, Bukit Mertajam, hari ini. - FOTO Amir Irsyad Omar
Siti Sofia Md Nasir


“SAYA hanya tidur tiga jam sepanjang berkempen, tetapi saya gembira dan berpuas hati dengan penerimaan pengundi.”

Demikian kata calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Permatang Pauh, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said, ketika ditemui pada hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), semalam.

Beliau berkata, tempoh berkempen selama 11 hari dimanfaatkan sepenuhnya dengan bertemu pengundi di hampir setiap pelosok, selain beramah mesra bersama penyokong pembangkang.

“Saya tidak kisah hanya tidur tiga jam sahaja sepanjang tempoh kempen ini, yang penting saya dapat bertemu penduduk Permatang Pauh dan meluangkan masa bersama mereka.

“Hasilnya, jentera BN Permatang Pauh kini diterima baik dan dialu-alukan oleh semua lapisan masyarakat.

“Jika dulu, BN sukar sekali untuk berkempen di sesetengah kawasan, tetapi sekarang semuanya berjalan lancar dan kita amat gembira dengan penerimaan penduduk,” katanya.

Terdahulu, beliau meraikan 14 kanak-kanak pesakit kanser daripada Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara di Juru, Bukit Mertajam, hari ini.

Mohd Zaidi mengakui buat julung kalinya kempen PRU-14 di Permatang Pauh berlangsung dalam keadaan aman dan harmoni tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Katanya, ia membuktikan penduduk Permatang Pauh kini mengamalkan politik matang dan menolak kempen berunsur kekerasan.

“Saya harap pengundi Permatang Pauh dapat membuat keputusan bijak dan rasional pada hari pengundian esok.

“Jika menang, saya akan melaksanakan semua 14 akujanji saya, tetapi jika ditakdirkan kalah, saya tetap akan meneruskan kerja amal seperti sebelum ini,” katanya.

Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi; calon PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden, dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 5:19 PM