Mohd Zaidi (tengah) mempelajari dan menyiapkan maruku dalam Program Memasak Kuih Maruku Sempena Deepavali anjuran MIC Bahagian Permatang Pauh sambil diperhatikan Pengerusi MIC Cawangan Simpang Empat, Bukit Tengah, V Jayaletchimi (kiri) dan Ketua MIC Bahagian Permatang Pauh, M Suresh (dua dari kanan) di Simpang Empat Bukit Tengah, semalam. FOTO MUHAMMAD SHALABY SHAHBUDDIN
Mohd Zaidi (tengah) mempelajari dan menyiapkan maruku dalam Program Memasak Kuih Maruku Sempena Deepavali anjuran MIC Bahagian Permatang Pauh sambil diperhatikan Pengerusi MIC Cawangan Simpang Empat, Bukit Tengah, V Jayaletchimi (kiri) dan Ketua MIC Bahagian Permatang Pauh, M Suresh (dua dari kanan) di Simpang Empat Bukit Tengah, semalam. FOTO MUHAMMAD SHALABY SHAHBUDDIN
Muhammad Shalaby Shahbuddin - 09.10.2017

KEHANGATAN dalam menyambut perayaan Deepavali turut dirasai UMNO Bahagian Permatang Pauh apabila berpeluang melihat dan mempelajari cara memasak maruku dan loyang di tiga rumah keluarga India dalam Parlimen Permatang Pauh, semalam.

Kunjungan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ke rumah ketiga iaitu Pengerusi MIC Cawangan Simpang Empat, Bukit Tengah, V Jayaletchimi disambut mesra dengan kalungan bunga dan selendang sebagai tanda penghargaan.

Jayaletchimi berkata, dia amat berbesar hati keluarganya dipilih untuk menerima kunjungan Mohd Zaidi bagi mempelajari cara membuat acuan dan memasak maruku di rumahnya selain dapat menjalinkan ikatan persaudaraan sesama mereka.

Beliau berkata, memang tradisi bagi keluarganya menyiapkan maruku seminggu lebih awal sebelum kedatangan Deepavali, malah program sedemikian turut menggambarkan keharmonian dan perpaduan masyarakat di negara ini.

"Maruku perlu disediakan masyarakat India sempena menyambut Deepavali umpama masyarakat Melayu jika tiada ketupat atau lemang tidak berserilah sambutan Aidilfitri.

"Sempena menyambut perayaan kali ini, kami sekeluarga menyediakan lebih 200 keping maruku untuk dihidangkan kepada tetamu dan keluarga yang berkunjung ke rumah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas dipilih antara tiga keluarga menerima sumbangan duit raya daripada Mohd Zaidi dalam Program Memasak Kuih Maruku Sempena Deepavali anjuran MIC Bahagian Permatang Pauh, semalam.

Sementara itu, Ketua MIC Bahagian Permatang Pauh M Suresh berkata, kaum India khususnya di Parlimen Permatang Pauh perlu memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN)menerajui kepemimpinan pada Pilihan Raya Umum (PRU-14) akan datang.

Beliau berkata, dalam tempoh lima penggal ini, masih belum ada jalan penyelesaian mahupun ahli parlimen dapat membantu menyelesaikan masalah dihadapi kaum terbabit di kawasan itu.

"Mereka (kaum India) perlu sedar jika tidak memberi peluang kepada calon BN memang sukar dan tidak mudah untuk mereka menerima sebarang peruntukkan daripada Kerajaan Persekutuan.

"Sebagai pemimpin MIC Bahagian Permatang Pauh, saya sedia menyahut cabaran dan menerima teguran sekiranya BN gagal menunaikan janji, malah jika peluang ini tidak diberikan adalah mustahil setiap masalah dapat diselesaikan," katanya.

Tambahnya, bagi meringankan bebanan keluarga kaum India di Parlimen Permatang Pauh menjelang persiapan Deepavali, UMNO dan kerjasama MIC Bahagian Permatang Pauh akan menyampaikan sumbangan duit raya dan hamper di Dewan Khidmat Komuniti, Taman Arowana jam 8 malam pada 11 Oktober nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 12:11 AM