RANG Undang-Undang Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 diharapkan   mengangkat martabat Islam  dan ummah di Malaysia.
RANG Undang-Undang Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 diharapkan mengangkat martabat Islam dan ummah di Malaysia.
Dr Mohd Khafidz Soroni

I su Rang Undang-Undang Mufti Wilayah-Wilayah Persekutuan 2024 (RUU Mufti) timbul apabila ia menentukan antara kelayakan menjadi mufti ialah individu terbabit wajib berakidah Ahlus Sunnah Waljamaah (ASWJ) yang merujuk kepada pegangan aliran al-Asya'irah dan al-Maturidiyah. Lalu, pihak yang membantah mencadangkan agar takrifan ASWJ perlulah merangkumi seluruh aliran yang muktabar, termasuk ahli hadis tanpa menyempitkannya. Alasan mereka kononnya bagi meraikan keluasan keilmuan dan kesarjanaan para ilmuwan, tidak menyempitkan akal dan minda, tidak membelenggu pemikiran rakyat serta merampas kebebasan berfikir dan akademik.

 Padahal, mereka mungkin terlupa bahawa istilah ASWJ ini bukannya isu fiqah yang melibatkan perkara cabang atau furuk yang boleh menerima keluasan dan perbezaan pendapat. Sebaliknya, ia adalah isu akidah yang melibatkan perkara pokok atau usul yang tidak banyak menerima keluasan dan perbezaan pandangan. Ini disebabkan isu akidah membabitkan dalil-dalil yang bersifat  yaqini  (pasti dan yakin), bukan seperti isu fiqah yang merangkumi dalil-dalil yang bersifat  zanni  (kemungkinan besar).

 Dalil dalam perbahasan usul akidah perlulah bersifat  qat'ie al-thubut  (sabit secara pasti) dan  qat'ie al-dalalah  (penetapan makna secara pasti). Tidak memadai jika ia hanya bersifat zanni al-thubut  (sabit pada kemungkinan besarnya) dan  zanni al-dalalah  (penetapan makna pada kemungkinan besarnya) sebagaimana dalam ilmu fiqah. Kesemua perkara ini telah dibahaskan secara lumat oleh ulama ASWJ al-Asya'irah dan al-Maturidiyah yang meraikan wahyu dan akal dalam wacana ilmiah mereka. Merekalah yang berjaya menyelamatkan pegangan akidah para salafussoleh dalam kemelut di antara pelampauan Muktazilah Jahmiyyah dalam menggunakan akal dan pelampauan Mujassimah Musyabbihah dalam memegang zahir wahyu. Keseimbangan manhaj mereka ini kemudian diterima oleh majoriti ulama Islam sehingga tidak dikenali ulama ASWJ itu melainkan al-Asya'irah dan al-Maturidiyah.  

Namun, bagaimana dengan ahli hadis yang tidak termasuk dalam kalangan al-Asya'irah dan al-Maturidiyah disebabkan penolakan mereka terhadap penggunaan dalil akal, sepertimana yang dicadangkan oleh pihak yang membantah? Perlu kita ketahui bahawa ahli hadis selepas era kemelut akidah dalam kurun ketiga Hijrah telah terbahagi kepada dua kelompok. Pertama, kelompok ahli hadis Mufawwidhah yang termasuk dalam kalangan ASWJ. Kedua, kelompok Ahli Hadis Hasyawiyyah yang cenderung kepada fahaman sesat Mujassimah Musyabbihah. Namun, adakalanya berlaku kekeliruan bagi menentukan sama ada ahli hadis itu daripada kelompok Mufawwidhah atau Hasyawiyyah.      

 Kekeliruan ini semakin bertambah rumit dengan munculnya Syeikh Ibnu Taimiyyah (wafat ‏728H) yang menggemblengkan segala usaha beliau untuk mengangkat akidah ahli hadis dan menolak fahaman al-Asya'irah dan al-Maturidiyah. Namun, pada hakikatnya akidah ahli hadis yang beliau perjuangkan ialah akidah Ahli Hadis Hasyawiyyah yang sudah terpalit dengan fahaman sesat Mujassimah Musyabbihah. Ini terbukti dalam berbagai karya akidah beliau dan juga apabila beliau mengangkat karya yang dinisbahkan kepada 'Uthman bin Sa'id ad-Darimi (wafat 280H), iaitu al-Naqdhu 'ala Bisyr al-Marisi dan ar-Radd 'ala al-Jahmiyyah  yang mengandungi unsur fahaman tersebut yang meyakini sifat Allah SWT berjisim, bersaiz dan berimej sama seperti sifat makhluk. Di samping terdapat di dalamnya banyak riwayat yang munkar, sangat lemah dan palsu yang tidak boleh dijadikan sandaran sama sekali dalam isu akidah.

 Justeru itu, ulama ASWJ al-Asya'irah dan al-Maturidiyah amat berwaspada dengan pendekatan Ibnu Taimiyyah ini serta mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan pemikiran beliau. Namun, gemerlipan kewibawaan ilmu beliau telah menarik segelintir ilmuwan untuk menyambut pemikirannya, lantas menyebabkan ia terus tersebar sehingga masa sekarang. Akibatnya, ada antara mereka yang mengaku sebagai ahli hadis namun pada hakikatnya dalam isu akidah adalah mengikut tafsiran Ibnu Taimiyyah. Walaupun pada zahirnya mereka mendakwa kononnya mengikut akidah salafussoleh. 

 Namun begitu, terdapat juga yang menyangka akidah yang beliau perjuangkan ialah akidah Ahli Hadis Mufawwidhah. Justeru, ada di kalangan mereka yang mengkagumi keilmuan Ibnu Taimiyyah ini adalah daripada Ahli Hadis Mufawwidhah dan bukannya Ahli Hadis Hasyawiyyah. Anehnya, kekeliruan ini terus berlangsung berkurun lamanya sehingga hari ini. Malah, adakalanya menjadi satu perkara yang agak sulit untuk menentukan mana Ahli Hadis Mufawwidhah dan Ahli Hadis Hasyawiyyah. 

 Jelasnya, jika cadangan memasukkan istilah ahli hadis dalam RUU Mufti diterima, maka tiada jaminan kelak untuk mengelakkan golongan sesat Mujassimah Musyabbihah layak menjadi mufti! Walhal, ia adalah istilah yang sudah samar, sedangkan sebuah rang undang-undang mestilah tidak mengandungi sebarang bentuk kesamaran. Selain istilah ahli hadis, istilah Athariyyah dan Hanabilah juga terpalit dengan pembahagian yang sama.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Julai 2024 @ 6:00 AM