SUHAIMI (tengah) ditemani  Firyal (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengundi di sebuah restoran di pekan Permatang Pauh.
SUHAIMI (tengah) ditemani Firyal (dua dari kiri) beramah mesra dengan pengundi di sebuah restoran di pekan Permatang Pauh.
Azma Razana Johari dan Muhammad Shalaby Shahbuddin

Bukit Mertajam: Aksi romantik calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh Suhaimi Sabudin, 44, dan isteri Firyal Harlina Napiah, 43, menghangatkan suasana kempen yang memasuki hari ketujuh, semalam.

Firyal yang juga akauntan bertauliah tidak kekok menemani Suhaimi menjelajah di beberapa pasar awam di sekitar Permatang Pauh bagi berkempen.

Malah, beberapa kali, mereka dilihat saling berpegang tangan mengedarkan risalah kempen BN di Permatang Pauh.

Firyal berkata, dia akan membantu suaminya berkempen, jika Suhaimi di pasar awam berkempen kepada orang lelaki, dia akan berkempen kepada kaum wanita di sana.

“Walaupun dia (Suhaimi) seorang yang pendiam, tetapi dia tegas. Jika saya tidak bersamanya, saya akan ke program lain yang dianjurkan bagi mendekati seramai mungkin pengundi di sini.

“Alhamdulillah, setakat ini kempen berjalan lancar dan sudah pasti saya sentiasa menyokong suami serta berharap dia menjadi pilihan pengundi nanti,” katanya.

Sementara itu, kempen yang masuk hari ketujuh semalam itu menyaksikan Suhaimi semakin rancak mendekati pengundi Cina di Pekan Permatang Pauh dan beliau dilihat bertutur di dalam bahasa Mandarin ketika memperkenalkan diri.

“Saya bertutur Mandarin supaya mereka lebih faham mengenai diri saya dan tujuan menjadi calon mereka.

“Antara lain, saya memberitahu mereka supaya menyokong saya dan berjanji membantu masyarakat Cina di Permatang Pauh,” katanya.

Suhaimi berkata, sokongan diterimanya semakin luar biasa selepas mudah diterima semua lapisan masyarakat di Permatang Pauh.

Selain itu. katanya, ramai yang menyatakan rasa kecewa mereka selepas tidak mendapat perhatian daripada wakil rakyat pembangkang yang memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh sejak 1999.

“Saya akan bekerja siang malam mendekati pengundi dan kini hanya tinggal tujuh hari lagi sebelum pengundian.

“Ketika bertemu pengundi dalam beberapa siri kempen, mereka menyatakan sokongan kepada saya dan berharap akan memperoleh kemenangan kelak,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat di Masjid Al-Falah Pengkalan Tambang, di sini.

Selepas bersolat di masjid berkenaan, Suhaimi bertembung dan berpelukan dengan calon Bebas Salleh Isahak, 53, yang bersolat Jumaat di situ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 9:21 AM