FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyelesaikan masalah kekurangan bekalan telur ayam dengan segera.

Ia susulan dakwaan peniaga runcit dan pasar awam mengenai kesukaran mereka mendapat bekalan itu sejak dua minggu lalu.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, keadaan ini menimbulkan kebimbangan terhadap kekurangan bekalan sumber protein termurah itu di pasaran pada masa hadapan.

Malah media tempatan juga melaporkan bahawa pengeluar telur memilih bagi menyembelih ayam telur mereka sebelum mencapai kematangan dan menyebabkan kekurangan telur.

"Tinjauan CAP mendapati telur ayam masih boleh didapati di pasar awam dan kedai runcit di sekitar Gelugor, Bayan Baru, Jelutong, dan Batu Lanchang.

"Bagaimanapun, peniaga mendakwa sukar bagi mereka mendapat bekalan kerana kuantiti yang diperoleh daripada pemborong adalah lebih rendah berbanding peniaga di pasar," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mohideen berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi baru-baru ini mengenal pasti kos makanan ayam yang tinggi sebagai penyebab terhadap kekurangan bekalan telur ayam.

Katanya, menjadi persoalan mengenai mengapa pasukan itu tidak berunding dengan penternak ayam lebih awal dan mengambil tindakan bagi menanganinya.

"Sekiranya penternak ayam memberi maklum balas, adakah Pasukan Khas ini berbincang dengan pihak pengeluar makanan tempatan mengenai cara bagaimana bagi menghasilkan makanan yang lebih murah menggunakan sisa isirong sawit memandangkan kos makanan adalah isu utama yang menjadi pertikaian?" katanya.

Menurut Mohideen lagi, terdapat banyak kajian yang berkaitan dengan penggunaan kek isirong sawit sebagai bahan makanan haiwan sejak 1980-an.

Malah Selangor juga mengumumkan akan menerima pakai kaedah menyediakan pengeluaran makanan haiwan alternatif berdasarkan penyelidikan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dua tahun lalu.

"Kaedah itu sudah dilaksana di Kedah dan didapati mengurangkan kos makanan ternakan dengan ketara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 5:01 PM