PELANGGAN memilih telur yang dijual peniaga di sekitar Pasar Chow Kit, semalam. FOTO Asyraf Hamzah
PELANGGAN memilih telur yang dijual peniaga di sekitar Pasar Chow Kit, semalam. FOTO Asyraf Hamzah
Muhammad Saufi Hassan dan Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Tiada yang lebih penting ketika ini kecuali telur ayam yang diumpamakan lebih bernilai daripada emas kerana kesukaran untuk mendapatkannya, hatta telur gred C, memandangkan penawaran dalam pasaran cukup terhad.

Lihat saja di mana-mana, ramai 'pemburu telur' berusaha mendapatkan bekalan makanan itu walaupun ada kalanya, pulang dengan tangan kosong.

Malah, peniaga juga turut berdepan situasi gagal memperoleh bekalan seperti diminta memandangkan pengeluar sendiri berdepan pelbagai kekangan untuk memenuhi permintaan luar biasa ini.

Negeri seperti Terengganu juga berdepan isu kekurangan telur di beberapa daerah. Ramai juga yang berusaha membeli lebih daripada satu papan telur namun gagal berbuat demikian.

Untuk rekod, rakyat Malaysia seramai 32 juta memerlukan 11.5 bilion biji telur setahun.

Ia berdasarkan anggaran 31 juta telur diperlukan setiap hari bagi memenuhi keperluan permintaan bahan makanan ini.

Walaupun berdepan isu kekurangan bekalan namun ia dijangka kembali pulih dalam masa terdekat.

Dekan Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Nur Azura Adam berkata, berdasarkan data diperoleh menunjukkan keperluan rakyat negara ini terhadap telur ayam sekitar 21 kilogram atau 361 biji setahun untuk setiap individu.

"Untuk menampung keperluan semasa, dianggarkan 672,000 tan metrik telur diperlukan setahun.

"Ketika ini, jumlah ditawar tidak mampu memenuhi permintaan pasaran.

"Saya menjangka harga telur dan ayam akan naik memandangkan kos penghasilan bahan makanan ayam sekitar 70 peratus daripada jumlah keseluruhan kos pengeluaran," katanya kepada Metro Ahad.

Dr Nur Azura berkata, realiti permasalahan kenaikan harga ayam dan telur banyak dipengaruhi bahan makanan ayam seperti jagung dan kacang soya diimport.

"Kita import bahan mentah ini dari negara seperti China, Brazil dan Argentina, sekali gus menjadikan harga pasaran antarabangsa di luar kawalan kita.

"Pada masa sama, perlu lihat kos logistik yang meningkat bukan hanya dalam negara, malah di peringkat antarabangsa terutama kos kargo.

"Ada pengusaha atau penternak mengeluh faktor kenaikan disebabkan harga tidak terkawal bahan penternakan seperti dedak, vitamin dan beberapa faktor luaran lain hingga mengakibatkan mereka terpaksa menaikkan harga telur serta ayam," katanya.

Menurut beliau, keluhan ini relevan kerana bahan itu tidak dihasilkan dalam negara dan semuanya bergantung kepada kos import.

"Jika ada cadangan berhubung kawalan harga bahan makanan ayam, sebenarnya ia di luar kuasa kita. Bagaimanapun, mungkin kerajaan boleh memperkenalkan subsidi khas apabila berdepan dengan krisis sebegini untuk mengurangkan harga dedak," katanya.

Dedak naik RM2 minggu ini!

"Niaga ayam pun rugi, niaga telur pun rugi. Kami beroperasi dalam keadaan rugi setiap hari dan jika keadaan berlarutan mungkin terpaksa gulung tikar."

Itu reaksi Penasihat Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) Datuk Jeffrey Ng berhubung situasi semasa termasuk kekurangan bekalan telur ayam di seluruh negara.

Isnin lalu, kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard ialah RM8.90 sekilogram iaitu pengurangan 20 sen daripada harga siling semasa RM9.10.

Harga berkenaan berkuat kuasa semalam hingga 5 Jun ini.

Jeffrey berkata, penternak serta pengeluar telur ayam terpaksa beroperasi dalam kerugian apabila harga dedak serta kos bahan mentah makanan ayam meningkat.

HARGA dedak naik RM34 satu beg 50 kilogram sejak 2020. FOTO Arkib NSTP
HARGA dedak naik RM34 satu beg 50 kilogram sejak 2020. FOTO Arkib NSTP

"Saya tidak nampak permintaan ayam akan meningkat dengan mendadak selepas kerajaan mengumumkan harga ayam turun 20 sen.

"Sebagai penternak, kita tetap akur dengan arahan kerajaan namun saya sendiri tidak tahu sampai bila. Kita sudah beroperasi dalam kerugian sejak sebulan lalu dan jika keadaan ini berterusan, kita gulung tikar.

"Harga dedak naik RM2 minggu ini dan sejak 2020 sampai sekarang, harga dedak naik RM34 satu beg 50 kilogram, ini kos bahan mentah untuk makanan ayam yang terpaksa kita tanggung," katanya.

Beliau turut berharap kerajaan dapat memberikan garis panduan yang jelas berhubung masalah ini, sekali gus melihat kepayahan golongan penternak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Februari 2022 @ 12:00 PM