Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir.
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Tidak timbul isu kekurangan bekalan telur ayam di negeri ini berikutan pengeluaran telur oleh pemain industri berkenaan melebihi 300 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, masalah timbul apabila pengusaha industri itu terpaksa mengeksport telur ayam ke negeri lain berikutan terikat dengan kontrak perladangan.

Menurutnya, penternak ayam sukar untuk membuat simpanan stok ayam berikutan telur ayam tidak boleh disimpan lama.

"Perbincangan bersama sembilan pemain utama dalam industri berkenaan di negeri ini sudah diadakan bulan lalu bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan telur.

"Kita jangkakan masalah kekurangan bekalan telur dapat diatasi sedikit masa lagi susulan pengeluar sudah menambah bilangan ibu ayam di ladang ternakan masing-masing," katanya.

Menurutnya, penternak ayam memerlukan masa bagi mendapatkan ibu ayam bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran telur.

"Ini mungkin mengambil masa beberapa bulan... bergantung kepada kapasiti ladang ternakan sedia ada" katanya ketika ditemui membantu calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jelebu, Datuk Zulfekly Mohamad Omar berkempen di Kuala Klawang di sini, tadi.

Sementara itu peniaga kedai runcit di Kuala Klawang yang mahu dikenali sebagai Lim, 55 berkata, kedainya sudah beberapa hari tidak menjual telur berikutan tiada bekalan.

"Ada kedai lain yang menjual telur, namun saya tidak pasti apa masalah yang berlaku sehingga bekalan telur tidak dihantar ke kedai saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 6:37 PM