WAKIL calon mewakili Shaid Rosli meninggalkan dewan pencalonan selepas menarik diri sebagai calon Jeram. FOTO Asyraf Hamzah
WAKIL calon mewakili Shaid Rosli meninggalkan dewan pencalonan selepas menarik diri sebagai calon Jeram. FOTO Asyraf Hamzah
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Selangor: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli dikatakan menarik diri daripada bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15.

Sebelum itu, wakil beliau iaitu Suhaila Hamil Shah dilihat hadir ke Pusat Penamaan DUN Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kuala Selangor untuk menghantar borang pencalonan kira-kira 9 pagi.

Suhaila berkata, beliau hadir sebagai wakil Mohd Shaid yang mahu mempertahankan kerusi DUN Jeram atas tiket bebas.

"YB (Mohd Shaid) berada di luar kawasan, jadi saya wakil beliau hari ini untuk hantar borang. YB akan bertanding atas tiket bebas," katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan DUN Kuala Selangor, hari ini.

Bagaimanapun, Suhaila yang diiringi dua lelaki keluar meninggalkan pusat penamaan berkenaan pada 10 pagi.

Difahamkan, Mohd Shaid menarik diri daripada bertanding dalam PRN dan mempertahankan kerusi DUN Jeram yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Berikutan itu, DUN Jeram berkemungkinan hanya berdepan pertarungan dua penjuru apabila hanya calon dari Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menghantar borang pencalonan setakat ini.

Mohd Shaid pernah bertanding di Parlimen Kuala Selangor sebagai calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, namun kalah kepada Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dari Pakatan Harapan (PH).

Terdahulu, Mohd Shaid dilaporkan menggesa PN membenarkan beliau mempertahankan kerusi DUN Jeram di bawah tiket PN.

Beliau yang meninggalkan PEJUANG Februari lalu yakin dapat memberikan saingan sengit terhadap calon BN, Datuk Jahaya Ibrahim.

Untuk rekod, kerusi DUN Jeram sebelum ini dimenangi Mohd Shaid dari PKR yang memperoleh 7,087 undi menewaskan calon BN, Zahar Azlan Arifin (5,896) dan calon PAS Mohd Nor Mohd Shahar (4,326).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Julai 2023 @ 10:55 AM