DR Ahmad Azrin (kanan) berdoa bersama keluarga Wan Noriah selepas menghulurkan bantuan pada Program KAHA 2022 di Kampung Merbau Patah. FOTO ZAID SALIM
DR Ahmad Azrin (kanan) berdoa bersama keluarga Wan Noriah selepas menghulurkan bantuan pada Program KAHA 2022 di Kampung Merbau Patah. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Kuala Terengganu: Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) memperuntukkan sebanyak lebih RM23 juta untuk diagihkan kepada 26,826 keluarga asnaf, fakir dan miskin menerusi program Konvoi Agihan Hak Asnaf (KAHA) 2022, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Profesor Madya Dr Ahmad Azrin Adnan berkata, menerusi bantuan secara 'one-off' itu, setiap keluarga isi rumah (KIR) asnaf akan menerima antara RM800 hingga RM1,000 bergantung kepada tanggungan keluarga.

Menurutnya, bantuan berkenaan bagi membantu meringankan beban golongan terbabit yang terkesan dengan peningkatan kadar inflasi dan kenaikan harga barang.

"Program agihan secara berkonvoi ini adalah julung kali diadakan serentak di seluruh negeri. Bagusnya program kali ini kerana kita membabitkan pembaysr zakat yang turut bersama konvoi bagi melihat sendiri agihan secara terus ke rumah penerima bantuan.

"Setiap daerah kita memilih lima keluarga asnaf miskin terpilih untuk menyerahkan bantuan tunai dan bakul makanan secara terus manakala, keluarga asnaf lain akan menerima bantuan tunai yang akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Juara program realiti TV Mentor Milenia 2019, Ahmad Amirul Hafizi Ahmad Tadjuddin atau lebih dikenali sebagai Apex Tajudin turut menyertai konvoi membabitkan sebanyak 200 motosikal dan 50 buah kereta di seluruh daerah.

Ahmad Azrin berkata, untuk program KAHA 2022, Maidam meluluskan sebanyak RM23,683,400 untuk diagihkan kepada 26,826 orang asnaf miskin.

"Seramai 15,713 KIR akan menerima bantuan 'one-off' sebanyak RM800, manakala 11,113 KIR menerima bantuan juga secara 'one off' sebanyak RM1,000," katanya.

Sementara itu salah seorang penerima bantuan, Wan Noriah Wan Abdullah, 54, bersyukur dan terharu dengan bantuan berkenaan yang mampu meringankan beban keluarganya menjalani kehidupan harian.

"Saya berterima kasih kepada Maidam kerana saat ini saya memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan bersama abang dan kakak ipar serta seorang anak saudara yang semuanya berstatus Orang Kurang Upaya (OKU)," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Merbau Patah, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 3:12 PM