ABANG Johari. FOTO Arkib NSTP
ABANG Johari. FOTO Arkib NSTP
Sri Ayu Kartika Amri

Kuala Lumpur: Kerajaan Sarawak mengumumkan Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 6.0 bernilai RM1.4 bilion bagi meneruskan kelangsungan bantuan yang amat diperlukan rakyat akibat langkah perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, bantuan itu merangkumi sembilan langkah pembayaran tunai dan enam jenis pemberian diskaun.

Katanya, antara insentif itu termasuk kepada pengamal media barisan hadapan di Sarawak sebanyak RM1,500 pembayaran secara tunai 'one off' membabitkan perbelanjaan kira-kira RM900,000.

"Selain itu, setiap ketua isi rumah (KIR) B40 Sarawak akan menerima pembayaran tunai sebanyak RM250 sebulan untuk tempoh enam bulan mulai 31 Julai hingga 31 Disember 2021.

"Manakala individu Bujang B40 Sarawak yang berumur 21 tahun ke atas akan menerima pembayaran tunai berjumlah RM500 secara one-off mulai 31 Ogos 2021.

"Seterusnya, kerajaan Sarawak akan membelanjakan lebih daripada RM27 juta untuk membayar Elaun Bulanan Khas kepada anggota barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam pengurusan pandemik Covid-19 dan terdedah kepada risiko jangkitan semasa menjalankan tugas di Sarawak.

"Manakala penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Tempatan akan menerima geran khas berjumlah RM1,500 yang akan dibayar secara dua peringkat iaitu RM750 pada Julai dan RM750 pada Disember 2021 melalui Sarawak Pay," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kerajaan Sarawak turut prihatin dengan nasib pengusaha penambang, oleh itu bantuan tunai secara one-off sebanyak RM500 akan diberi kepada pemilik dan pengendali penambang berdaftar di Sarawak.

Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 200 pemilik dan pengendali penambang dan diharap dapat mengurangkan beban kewangan mereka.

Beliau berkata, kerajaan Sarawak amat prihatin dengan kehilangan punca pendapatan pengendali van penumpang, pemandu teksi, pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak akibat pandemik ini.

"Sebanyak RM600 kepada 960 pengendali van penumpang, 1,980 pemandu teksi dan 740 pengendali bas dan van sekolah yang berdaftar di Sarawak membabitkan jumlah sebanyak RM2.2 juta.

"Tidak ketinggalan juga bantuan kewangan sebanyak RM500 secara one-off pemandu perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) dan pengajar sekolah memandu.

"Selain itu, sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada 216agensi pelancongan berlesen, RM600 untuk 568 operator homestay berlesen, RM1,500 untuk 219 Pemandu Pelancong dan 173 Pemandu Pelancong Taman Negara yang berdaftar di Sarawak dan RM500 untuk 99 pemandu kenderaan pelancong berlesen," katanya.

Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak sentiasa memikirkan langkah terbaik dalam melaksanakan inisiatif bagi membantu meringankan beban rakyat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 7:16 PM