GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Rafiqah Dahali

Kota Kinabalu: Sabah bersetuju memberikan bantuan khas tambahan 'one-off' sebanyak RM100 kepada penerima bantuan bulanan daripada golongan asnaf.

Menteri Tugas Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, bantuan RM100 secara 'one-off' itu adalah sebagai usaha meringankan beban golongan terbabit ketika pandemik Covid-19.

"Pusat Zakat Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) bersetuju memberi bantuan khas tambahan itu kepada 9,600 penerima bantuan bulanan (asnaf fakir) yang membabitkan peruntukan RM960,000.

"Selain itu, kita juga turut memberikan bantuan 'one-off' sebanyak RM500 kepada pekerja fardu kifayah yang menyelenggara jenazah.

"Bantuan dana sebanyak RM1.3 juta juga diberikan kepada pihak hospital yang memerlukan bantuan dari sudut keperluan mereka dengan segera bagi menangani pandemik Covid-19," katanya.

MOHD Arifin (kiri) membuat tinjauan hakisan dan tanah runtuh berdekatan Masjid Al Falah Kepayan FOTO Ihsan Pejabat Menteri Tugas Tugas Khas Sabah
MOHD Arifin (kiri) membuat tinjauan hakisan dan tanah runtuh berdekatan Masjid Al Falah Kepayan FOTO Ihsan Pejabat Menteri Tugas Tugas Khas Sabah

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika membuat tinjauan keadaan hakisan dan tanah runtuh di lereng bukit jalan menuju ke Masjid Al Falah Kepayan di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) Datuk Saifulzaman Sangul.

Mengulas tinjauan dilakukan beliau hari ini, Mohd Arifin berkata, pihaknya akan mendapatkan peruntukan daripada kerajaan negeri untuk mengukuhkan struktur masjid dan membina tebatan lereng bukit.

"Pihak JKR menganggarkan sebanyak RM2 juta diperlukan untuk membina tebatan lereng bukit di sekeliling tapak bangunan masjid," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 5:00 PM