AMIRUDIN Shari . FOTO arkib NSTP
AMIRUDIN Shari . FOTO arkib NSTP
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: "Dulu kami satu pasukan (PKR) sekarang sudah berbeza, seorang sudah lompat, saya masih di sini.

"Macam (Sadio) Mane sudah berhijrah ke Bayern Munich manakala (Mohamed) Salah masih di Liverpool, macam itulah kami, saya dan Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali)."

Itu kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berhubung pencalonannya untuk merebut kerusi Parlimen Gombak daripada penyandangnya iaitu Mohamed Azmin pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.

Amirudin berkata, beliau akan cuba sedaya-upaya untuk mempertahankan kerusi PKR di Parlimen itu selepas penyandangnya, Mohamed Azmin sebelum ini meninggalkan parti berkenaan pada Februari 2020.

"Saya akan cuba sedaya-upaya, ini bukan mudah kerana saya berlawan dengan penyandang namun suara hati rakyat kita dengari dan jentera parti sudah bersedia untuk menghadapinya, jadi, InsyaAllah akan bawa misi Pakatan Harapan (PH) ini untuk kerusi berkenaan.

"Jika ada suara yang menyatakan parti PKR di Parlimen Gombak berpecah, itu tidak benar, ahli PKR yang ikut Azmin hanya 10 hingga 20 peratus saja, parti masih dalam keadaan baik selepas mengharungi pandemik selama dua tahun ini, jadi saya yakin untuk membawa misi besar PH kali ini," katanya.

Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua dan Ketua Cabang PKR Gombak, dilihat mengetuai misi parti itu untuk 'berperang' dengan kumpulan yang dilabelkan 'pengkhianat' PKR.

Parlimen Gombak disandang oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin yang meninggalkan PKR pada Februari 2020 bersama sembilan lagi Ahli Parlimen PKR, sekali gus menyaksikan kerajaan PH jatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 3:31 PM