DATUK Seri Amirudin Shari
DATUK Seri Amirudin Shari
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Ketua PKR Perak, Farhash Wafa Salvador mengesahkan akan berdepan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bagi merebut jawatan Ketua Cabang PKR Gombak pada Pemilihan PKR 2022.

Farhash ketika dihubungi, mengesahkan beliau sudah menghantar pencalonan untuk bertanding jawatan itu, semalam.

Katanya, setakat ini, perebutan bagi kerusi berkenaan hanya membabitkan dua penjuru.

"Setakat ini, hanya saya dan Menteri Besar (Selangor)," katanya kepada BH, hari ini.

Februari lalu, Farhash yang juga bekas Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan selepas menyatakan hasratnya untuk bertanding merebut kerusi Ketua Cabang PKR Gombak yang disandang Amirudin.

Farhash berkata, beliau diminta bertanding di kawasan itu oleh sebahagian ahli akar umbi yang mahukan peremajaan parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan PKR juga katanya, mahu merebut semula kerusi Parlimen Gombak daripada penyandangnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang kini menyertai Bersatu.

Ditanya mengenai harapannya, Farhash berkata, beliau mahu memenangi kerusi itu dan menyatukan ahli PKR serta penduduk di kawasan berkenaan.

"Saya mahu menyusun gerak kerja untuk membantu ahli dan rakyat," katanya.

Gombak adalah antara cabang PKR yang menjadi tumpuan pada pemilihan parti, yang akan berlangsung bulan depan.

Penamaan calon bagi peringkat cabang diadakan selama tiga hari, bermula Jumaat lalu, manakala bagi enam jawatan tertinggi parti iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan empat Naib Presiden, selain kepimpinan tertinggi sayap PKR akan diadakan esok.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun turut sah bertanding jawatan Ketua Cabang PKR Port Dickson dan akan mencabar Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Negeri Sembilan, yang juga penyandang jawatan itu, Datuk M Ravi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 April 2022 @ 1:31 PM