RADZI Jidin. FOTO arkib NSTP
RADZI Jidin. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Perikatan Nasional (PN) yakin dapat memenangi hati pengundi Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) seterusnya melonjakkan kawasan pentadbiran itu ke tahap lebih baik sekiranya diberikan mandat.

Calon PN bagi Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, tempoh empat tahun beliau menetap di kawasan itu cukup untuk mengenali masyarakat setempat dan mengetahui pelbagai masalah yang membelenggu penduduk.

"Saya tinggal di sini sejak 2018 dan rumah pertama saya adalah di Pangsapuri Larai sebelum berpindah ke Presint 10. Ketika itu saya banyak bergaul dengan komuniti setempat khususnya jawatankuasa masjid dan surau, masyarakat, kepimpinan masyarakat, persatuan penduduk dan persatuan sukan.

"InsyaAllah, jaringan yang ada dengan kakitangan awam semasa di Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Pendidikan memberi ruang yang sebaiknya untuk saya menyantuni pengundi di sini.

"Banyak perkara disampaikan kepada saya, walaupun Putrajaya ini adalah bandar pentadbiran serta terancang namun banyak perkara perlu ditambahbaik antaranya penyelenggaraan kuarters yang tidak diberi perhatian dalam tempoh lama dan tiada pengangkutan awam seperti bas untuk menghantar anak ke sekolah.

"Kalau dulu anak pergi sekolah dengan bas, tetapi kini ibu bapa terpaksa menghantar berikutan ketiadaan bas di Putrajaya. Selain itu ruang parkir juga menjadi isu di bandar ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Bengkel Penulisan Cerpen dan Penerbitan Antologi Cerpen Penulis Cilik Peringkat Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 16 (1), di sini hari ini.

Rabu lalu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan Radzi yang juga Naib Presiden Bersatu sebagai calon gabungan itu di Parlimen Putrajaya sekali gus menutup pelbagai khabar angin berkaitan kerusi berkenaan.

Untuk rekod, kerusi Putrajaya disandang Bendahari Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang memegang kerusi berkenaan selama empat penggal. Pada PRU-14, Tengku Adnan menang dengan majoriti 3,372 undi.

Beliau memperoleh sebanyak 12,148 undi menewaskan calon Pas, Zainal Abidin Kidam dan calon PKR, Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang masing-masing memperoleh undi sebanyak 3,634 dan 8,776.

Sementara itu, Radzi berkata, rekod PN semasa menjadi kerajaan mampu membantu parti gabungan itu menakluk Putrajaya.

"Kita pernah memerintah ketika waktu Covid-19 dan ia membuktikan kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin sangat bekerjasama rapat dengan penjawat awam serta menghormati pandangan diberikan oleh mereka.

"Rekod kita jelas bagaimana kita dapat bekerjasama dengan baik dan rekod itu juga akan dibawa bersama bagi memastikan kita dapat melonjakkan Putrajaya ini kepada yang lebih baik," katanya.

Menyentuh mengenai manifesto, Radzi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Manifesto PN berkata, perkara itu akan dilihat secara menyeluruh dengan memberi penekanan kepada konteks prihatin, bersih dan stabil.

"Ini adalah perkara yang ingin kita bawa dalam konteks pembangunan masyarakat, banyak perkara yang kita akan lihat secara menyeluruh bagi memastikan apabila kita membentuk kerajaan, kita bersedia.

"Apa yang selalu disebut oleh Tan Sri Muhyiddin, apabila diizinkan untuk membentuk kerajaan perkara pertama yang ingin dilihat adalah bagaimana cabaran yang dihadapi oleh negara dan rakyat kerana kita melalui satu tempoh yang sukar," katanya.

Manifesto PN akan dilancarkan selepas hari penamaan calon yang ditetapkan pada 5 November ini oleh Muhyiddin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Oktober 2022 @ 11:46 AM