Tengku Adnan berbual bersama Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A Asmadi Abdul Aziz ketika meninjau proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Tengku Adnan berbual bersama Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP A Asmadi Abdul Aziz ketika meninjau proses pengundian awal sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya. FOTO MOHD FADLI HAMZAH
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Selepas posternya disembur cat hitam dengan perkataan kesat, calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadi mangsa fitnah pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Kali ini penyandang kerusi selama empat penggal itu mendakwa difitnah kononnya memberikan habuan sebanyak RM300 kepada pengundi luar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan untuk pulang mengundi.

Mesej yang disebar menerusi kumpulan WhatsApp itu bagaimanapun disahkan sebagai palsu.

"Itu adalah fitnah yang dilemparkan kepada saya. Saya tidak buat begitu. Saya harap sesiapa yang nak bertanding jangan main fitnah sembarangan. Kita ikut apa yang baik untuk kempen kita.

"Tapi puak belah sana saya tidak tahu apa tujuan mereka. Saya harap mereka hentikan fitnah sebegini," katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini, tadi.

Bendahari UMNO itu berkata, beliau tidak akan memberi duit kepada pengundi untuk meraih undi kerana menjadi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Katanya, satu laporan polis sudah dibuat oleh jentera BN di Balai Polis Presint 7 semalam untuk menafikan dakwaan berkenaan.

Terdahulu, tular mesej melalui aplikasi WhatsApp kononnya pengundi luar Putrajaya diminta mengisi segera borang secara dalam talian bagi mendapatkan tuntutan bantuan elaun perjalanan untuk mengundi kerusi Parlimen berkenaan.

Pada PRU-15, Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Tengku Adnan, Datuk Dr Radzi Jidin (Perikatan Nasional - PN), Datuk Mohd Rosli Ramli (Parti Pejuang Tanah Air - PEJUANG), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan - PH), serta dua calon bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2022 @ 3:04 PM