ROSLI ketika sidang media selepas bertemu pengundi di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ROSLI ketika sidang media selepas bertemu pengundi di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) di Parlimen Putrajaya, Datuk Mohd Rosli Ramli bersedia berdebat dengan dua lagi calon di kawasan berkenaan iaitu penyandang kerusi, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Dr Radzi Jidin yang mewakili Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, ia bertujuan untuk mencambah pemikiran selain memberi peluang kepada pengundi menilai siapa yang layak dan mahu mereka pilihan mewakili mereka untuk penggal depan.

"Di sini saya juga berbesar hati sekiranya mana-mana pihak media boleh menganjurkan debat tiga penjuru antara saya, Tengku Adnan dan Radzi bagi membincangkan tawaran kepada rakyat Putrajaya. Saya bersedia!" katanya pada sidang media selepas menyantuni pengundi di Medan Seleran Presint 16, di sini, hari ini.

Rosli yang berpengalaman selama 17 tahun berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri (JPM) berkata, melalui perdebatan secara sihat itu, ia mampu menunjukkan kaedah yang ada bagi membangunkan bandar pentadbiran ini.

Justeru, beliau berkata, ia bertujuan membincangkan tawaran ketiga-tiga calon kepada penduduk di Putrajaya.

Beliau yang mempunyai kepakaran dalam pengurusan projek berkata, beliau antara pegawai kerajaan pertama bertugas di Putrajaya ketika ia mula dibuka pada 1999.

"Putrajaya adalah pusat pentadbiran yang dibangunkan secara terancang dan perkara ini banyak kita lihat ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

"Tidak tahulah sama ada perancangan asal masih lagi diikuti oleh pentadbiran ketika ini, namun kalau kita lihat mengikut perancangannya, Putrajaya ini tidak sepatutnya mempunyai banyak kenderaan," katanya.

Beliau berkata, perancangan awal pembukaan Putrajaya mensasarkan penggunaan sistem pengangkutan awam yang cekap termasuk intra bandar.

Katanya, berikutan itu, sistem pengangkutan awam perlu dilihat dan ditambah baik serta membangunkan perkhidmatan intra bandar untuk menjadikan Putrajaya sebuah bandar yang menarik bagi menarik lebih ramai orang suka tinggal di bandar pentadbiran itu.

Sementara itu, Rosli menawarkan lapan manifesto bertemakan 'Yang Bekerja buat seluruh warga Putrajaya' yang antara lain meningkatkan efisiensi lalu lintas dan lampu isyarat berteknologi kecerdasan buatan (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) bagi mengelakkan pengguna terlalu lama menunggu di persimpangan serta penyelesaian isu tempat letak kereta dan pengangkutan awam.

Katanya, PEJUANG bertekad untuk menambah baik pengangkutan awam terutamanya bas dan monorail.

Rosli berkata, beliau juga membawa usaha menyelaras kenaikan gaji penjawat awam dengan kadar nilaian inflasi masa kini selepas kali terakhir ia diselaraskan pada 2011 hingga 2013.

"Penyelerasan gaji ini juga akan membantu penjawat awam yang tersepit dengan kos sara hidup yang semakin meninggi dan mencengkam mereka. Saya dulu lama berada dalam pentadbiran, saya bekas Pegawai Tadbir Diplomatik, saya amat memahami.

"Saya juga menawarkan kepada warga Putrajaya untuk menambah peruntukan bajet bagi penyelenggaraan kuarters, yang sekian lama tak selesai.

"Selain itu, saya akan berusaha untuk menambah bilangan pusat transit anak-anak sewatu transisi sekolah pagi dan kelas petang bagi menjami keselamatan anak penduduk di Putrajaya," katanya.

Rosli berkata, beliau juga menjanjikan pengurangan kadar sewaan dewan perkahwinan antara 20 hingga 30 peratus dan sewaan premis perniagaan pada kadar 20 peratus untuk meringankan beban kewangan yang ditanggung mereka selain membangunkan Pusat Makanan Tradisional Malaysia di Putrajaya yang mengetengahkan Putrajaya sebagai pusat kepada makanan tradisional Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 November 2022 @ 12:29 PM