MUHYIDDIN Yassin (kiri) mengumumkan Calon Perikatan Nasional Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin pada Program Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya malam ini. FOTO Bernama
--
MUHYIDDIN Yassin (kiri) mengumumkan Calon Perikatan Nasional Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin pada Program Jelajah Prihatin Parlimen Putrajaya malam ini. FOTO Bernama
--
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Dr Radzi Jidin, sebagai calon gabungan itu di Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Beliau berkata, pengumuman itu menjawab sebagai khabar angin yang bertiup selama ini.

"Calon yang nak kita letak di Putrajaya adalah Datuk Dr Radzi Jidin. Saya umum awal lagi. Malam ini sahih bukan uar-uar, calon kita di Putrajaya," katanya pada program Jelajah Prihatin PN di Putrajaya, malam tadi.

Turut hadir, Radzi, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Pemuda PN, Ahmad Fadhli Shaari.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, biarpun penyandang kerusi Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sudah melakukan sesuatu untuk kawasannya, kini sudah tiba masanya untuk perubahan.

Katanya, perubahan itu akan berlaku dengan PN melalui Radzi.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, berkata, parti itu tidak boleh terus berada dalam Pakatan Harapan (PH) jika ia tidak mahu kehilangan sokongan masyarakat Melayu.

Beliau berkata, ketika menjadi Menteri Kabinet kerajaan PH, banyak isu termasuk membabitkan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) dan usaha menukar Akta Hasutan dibawa ke mesyuarat kabinet sewaktu beliau yang ketika itu Menteri Dalam Negeri tidak menghadirinya.

"Dia takut kalau saya ada bersama, mungkin saya akan tentang. Sebab itu saya beritahu Tun (Tun Dr Mahathir Mohamad) kita tak boleh terus berada dalam PH.

"Kita bincang, tak boleh. Lagi lama bersatu dalam PH lagi merosot sokongan (terhadap) kita kerana orang Melayu tahu itu bukan tempat kita. Perosak bangsa, perosak agama... macam-macam perkara yang dibuat yang membawa mudarat kepada orang Melayu, umat Islam dan juga seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, wakil sebuah negeri sudah menyatakan sokongan kepada PN bagi memenangi PRU-15.

"Tadi ada datang seorang wakil daripada sebuah negeri, saya tidak usah sebut di sini. Yang katakan komitmen dia untuk membantu dan menyokong kita bentuk kerajaan.

"Saya rasa begitu lega dengan kenyataan komitmen mereka untuk bersama-sama kita. Tapi dengan syarat kita mempunyai sejumlah kerusi yang terbesar berbanding PH dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 12:26 AM